Pertahan kepentingan penduduk asal kampung tradisi adalah dasar Kerajaan Negeri – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain diberi penerangan mengenai mural dengan tema mengimbau kampung tradisi di Kampung Bagan Jermal yang wujud sejak tahun 1940 pagi, di sini pada malam tadi.

BAGAN JERMAL – Di Pulau Pinang, lebih 200 kampung tradisi mungkin akan lenyap dari ‘peta’ negeri disebabkan isu ketuanpunyaan tanah berpindah tangan kepada individu tertentu atau syarikat pemaju swasta, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

KETUA Menteri

Bercakap kepada pemberita, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi bagaimanapun berkata bahawa pihak pentadbirannya senantiasa berusaha memastikan penduduk asal kampung tradisi yang terlibat dalam kes pengusiran paksa akan mendapat penempatan semula ataupun pampasan setimpal, semasa satu-satu permohonan pelan kebenaran merancang berkaitan diluluskan pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mungkin ada kampung tradisi yang berada di atas tanah milikan pihak swasta, akan berlaku pengusiran penduduk apabila mahu dilaksanakan satu-satu projek pembangunan.

“Walaupun kampung-kampung tradisi ini disenaraikan dan dikenal pasti, tetapi ia adalah ‘rizab’ yang tidak boleh dibangunkan semula kerana ia melibatkan tanah-tanah milikan sendiri.

“Bagi menangani isu ini, apabila berlaku projek pemajuan, memang ada dasar Kerajaan Negeri (melalui) PBT akan memastikan pemaju menyediakan penempatan semula bagi ditawarkan (kepada penduduk asal kampung tradisi yang terlibat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada 12 Mei 2022.

PENDUDUK asal Kampung Bagan Jermal turut mencuri peluang merakamkan gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan pemimpin negeri di sini pada malam tadi.

Sebelum itu, Kon Yeow merasmikan Majlis Hari Raya Aidilfitri ‘Dalam Suasana Kampung Tradisi’ Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal dekat Kampung Bagan Jermal di sini.

“Majlis pada malam ini, bagi saya adalah suatu idea yang bagus dan sangat unik, ia akan membawa kita mengimbau kembali suasana perayaan di kampung tradisi atau kampung warisan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana menyempurnakan acara tandatangan plak pada mural ‘kampung tradisi’ yang dilukis oleh Cikgu Hunny Ooi.

“Kampung Bagan Jermal ini wujud sejak tahun 1940 dan dikelilingi hutan, tetapi pada hari ini, ia masih wujud di tengah-tengah pembangunan yang pesat.

“Walaupun pembangunan sekitar kawasan ini semakin pesat membangun, saya harap mural ini dapat terus kekal di sini untuk diimbau oleh generasi akan datang mengenai kewujudan Kampung Bagan Jermal ini,” ulasnya.

KATUA Menteri (berdiri, kiri) dengan diiringi Soon Lip Chee (berdiri, kanan) menyantuni seorang penduduk tempatan sempena sambutan Hari Ibu yang turut diraikan serentak dalam majlis di sini pada malam tadi.

Exco Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid, Tan Khong Chong (Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bagan) antara pemimpin negeri yang hadir pada majlis keramaian tersebut.

Nyanyian lagu tradisional Aidilfitri, gimik membawa beca, paluan kompang, agihan duit raya kepada kanak-kanak dan potong kek sempena sambutan Hari Ibu Sedunia merupakan antara acara menarik di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video : AHMAD ADIL MUHAMAD