Pertandingan kitar semula tingkat pemahaman pelajar

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Penang Green Council (PGC) dengan kerjasama Persatuan Pengilang-pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan The Dow Chemical Company (DOW) menyasarkan lebih banyak penyertaan sekolah-sekolah negeri ini dalam MPMADOW Plastics Recyclables Collection Competition pada masa hadapan.

Sasaran itu dibuat berdasarkan peningkatan jumlah penyertaan iaitu 30 sekolah pada tahun ini (2014) berbanding hanya tiga buah (2013).

Pertandingan MPMA-DOW Plastics Recyclables Collection Competition berlangsung selama tiga bulan bermula 6 Mei sehingga 31 Julai ini dan nama-nama pemenang akan diumumkan pada 13 November kelak.

Umumnya, pertandingan tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk belajar, memahami dan merasai pengalaman melalui pendekatan yang lebih praktikal dan inovatif berhubung konsep kitar semula.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, pertandingan tersebut antara lain bertujuanmemupuk dan meningkatkan pemahaman para pelajar serta pihak sekolah terhadap peri pentingnya amalan sisa sifar, 3R iaitu Reduce (mengurangkan), Reuse (mengguna semula) dan Recycle (mengitar semula).

“Kita (Kerajaan Negeri) turut menfokuskan satu lagi R iaitu Rethink (fikir semula) dalam usaha mewujudkan komuniti yang mampan
berteraskan konsep eko-bandar dan bandar berkarbon rendah (low carbon city) di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media sejurus selepas Majlis Peluncuran MPMA-DOW Plastics Recyclables Collection Competition di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi MPMA (Cawangan Wilayah Utara), Tan Wee Ming, Pengarah Pembangunan Mampan DOW, Paul Wu, Timbalan President MPMA, Datuk Raymond Sng dan wakil-wakil sekolah yang bertanding dalam penganjuran Plastics Recyclables Collection Competition 2014.

Selain itu, kata Boon Poh, pendekatan bersepadu dalam pengurusan sumber dan anggapan sisa buangan sebagai sumber mampu menjayakan hasrat Kerajaan Negeri ke arah ‘International World Class Intelligence City’.

Dalam pada itu, Wee Ming menyatakan bahawa peningkatan penyertaan sekolah pada tahun ini menunjukkan komitmen yang amat
baik dalam usaha mendidik masyarakat khususnya para pelajar mengenai kepentingan amalan kitar semula dan menjaga persekitaran.