Pertandingan kitar semula tingkat pemahaman penjagaan alam sekitar dalam kalangan pelajar

Admin

SEBERANG JAYA – Kolej Tingkatan Enam Desa Murni dinobatkan sebagai juara kategori sekolah menengah bagi Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah anjuran bersama antara Fraser & Neave Holding Berhad dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Tetra Pak (M) Sdn. Bhd. itu turut menobatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuang Yu sebagai johan bagi kategori sekolah rendah manakala Tadika Interaktif johan bagi prasekolah.

Johan bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,400 manakala prasekolah (RM300).

Para menenang menerima hadiah masig-masing.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah diadakan dari Mac sehingga Ogos 2023 dengan penyertaan sebanyak 18 buah sekolah menengah, sekolah rendah (22) dan tadika atau pra sekolah (9).

Katanya lagi, jumlah keseluruhan beratan barang kitar semula yang berjaya dikumpulkan melalui pertandingan tersebut adalah sebanyak 79,612.27 kilogram (kg).

“Objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman para pelajar sekolah tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti kitar semula.

“Selain itu, ia juga bertujuan menyemai perubahan tingkah laku yang positif secara berterusan kepada para pelajar dari pra sekolah atau tadika hinggalah sekolah menengah,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kitar Semula Peringkat Sekolah dekat Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

Justeru, Azhar berharap agar penganjuran pertandingan tersebut juga dapat menarik dan memupuk minat golongan para pelajar dan para pendidik untuk menjadikan kitar semula sebagai satu budaya.

“Agensi pendidikan adalah satu titik mula yang penting dalam membentuk masyarakat untuk menjaga dan mencintai alam sekitar sejajar dengan misi Majlis Bandaraya Seberang Perai iaitu menjadikan Seberang Perai Resilient, Inklusif, Hijau, Kompetitif dan Bandar Pintar Dipacu oleh Teknologi,” ujarnya.

Difahamkan, para pemenang pertandingan adalah dinilai berdasarkan jumlah beratan per kapita keseluruhan iaitu jumlah kutipan barangan kitar semula yang terdiri daripada aluminium, plastik, kertas dan kotak minuman (tetrapak).

Beratan keseluruhan barangan kitar semula yang dikumpul akan dibahagikan pula dengan jumlah pelajar sekolah.

Selain beratan per kapita keseluruhan, sekolah yang mempunyai beratan per kapita tertinggi bagi kutipan aluminium, plastik dan kotak minuman akan membawa pulang anugerah khas bagi ketiga-tiga kategori tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD