Pertandingan Pelan Rekabentuk Induk PSI dapat penyertaan 25 negara, termasuk sembilan syarikat tempatan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menzahirkan rasa gembira kerana Pertandingan Pelan Rekabentuk Induk (MDC) bagi projek Penang South Island (PSI) yang dilancarkan di peringkat global sejak 6 November lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Sehingga tarikh tutup pada minggu lalu, Kon Yeow memberitahu bahawa MDC menerima 124 penyertaan minat daripada 25 negara, termasuk sembilan syarikat tempatan.

“Saya amat gembira dengan pendaftaran minat dari serata dunia dan semua benua kecuali Antartika.

“Ini merupakan satu permulaan yang amat membanggakan dengan minat yang memberangsangkan di peringkat global terhadap PSI.

“Ia juga merupakan suatu pertanda positif yang membolehkan Pulau Pinang menjadi destinasi tumpuan dunia, yang kekal komited untuk memupuk bakti, ekonomi berpengetahuan dan pelancongan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar pada 6 Disember 2019.

Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Norazmi Mohd. Narawi; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Siang; Pemangku Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang, Mohd. Bashir Sulaiman serta wakil-wakil daripadaPertubuhan Akitek Malaysia Northen Chapter (PAMNC) di bawah Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).

Kon Yeow menjelaskan bahawa peringkat MDC seterusnya adalah pengumuman Penyataan Minat atau Expression of Interest (EOI), bermula 6 hingga 30 Disember 2019.

“Pada peringkat EOI, kesemua peserta yang disenarai pendek akan mengemukakan butiran lanjut dan bukti kelayakan kumpulan konsortium mereka.

“Ini, akan diikuti dengan proses pemilihan lima finalis yang akan diumumkan pada bulan Januari 2020.

Kesemua kumpulan konsortium perlu disertai oleh arkitek dan/atau perancang dari Malaysia…para finalis yang dipilih akan mengemukakan cadangan reka bentuk mereka,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlmen Tanjong.

Tambah beliau, pemenang cadangan reka bentuk pelan induk yang dipilih oleh Panel Juri Utama akan dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai ‘Leader Master Plan Designer’, dengan tertakluk kepada terma serta syarat yang ditetapkan.

Difahamkan, PSI merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri sebagai pemangkin kepada agenda sosial, ekonomi dan keterangkuman sejajar dengan rangka tindakan Penang2030.

Menerusi PSI, Kon Yeow berhasrat mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam jangka masa pendek dan seterusnya.

“Terletak di bahagian selatan pulau Pulau Pinang, PSI bertapak di dalam kawasan strategik berhampiran dengan Zon Perindustrian Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“PSI direka bentuk bercirikan persekitaran yang indah di tepian air dan akan dilengkapi kawasan pantai awam, taman persisiran pantai, kawasan hijau terbuka, laluan berbasikal dan aktiviti rekreasi,” katanya sambil memberitahu bahawa PSI adalah nama rujukan sementara pertandingan MDC bagi projek penambakan laut selatan pulau Pulau Pinang (PSR).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD