Pertempuran lawan COVID-19 adalah marathon, bukan lari pecut – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menasihatkan rakyat negeri ini agar tidak terlalu leka dalam usaha membasmi penularan wabak COVID-19.

 

Menurut beliau, pertempuran melawan COVID-19 masih belum tamat dan rakyat negeri ini perlu bekerja lebih keras.

 

“Tidak dinafikan bahawa ramai yang berasa bimbang apabila melihat kes positif COVID-19 telah meningkat sebanyak enam (6) kes semalam di negeri Pulau Pinang berbanding sifar ataupun hanya satu (1) kes pada hari-hari sebelumnya.

 

“Berkali-kali saya tegaskan sebelum ini bahawa jangan terlalu leka dengan angka-angka ini kerana pertempuran ini adalah sebuah marathon dan bukannya larian pecut yang hanya berakhir dalam tempoh masa singkat.

 

“Kita masih perlu dan terus bekerja keras. Jangan sesekali menanam sifat sambil lewa bahawa kita sudah boleh ‘relax’ akibat dikaburi oleh angka-angka berkaitan,” ujarnya pada siaran langsung menerusi laman Facebook beliau di sini tadi.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow juga telah mencadangkan agar Kerajaan Pusat meningkatkan lagi kadar ujian saringan COVID-19 di negeri Pulau Pinang.

 

“Kita mesti mengetahui dengan jelas semua kes-kes positif wabak ini dan seterusnya mengambil tindakan yang sepatutnya termasuk mengasingkan pesakit-pesakit ini bagi memutuskan rantaian perebakan.

 

“Bagaimanapun, jangan sesekali kita panik apabila bilangan kes bertambah ekoran peningkatan kadar ujian saringan ini.

 

“Pengalaman di negara-negara seperti Korea Selatan yang dilihat sebagai berjaya mengekang wabak ini termasuklah melakukan seberapa banyak saringan yang mungkin.

 

‘Dalam aspek tersebut, Kerajaan Negeri sudi bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam menjayakan pendekatan dicadangkan,’’ jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa setakat semalam, 8 April 2020, Ketua Polis Negeri memaklumkan bahawa kadar kepatuhan PKP di negeri ini adalah pada kadar 97.7 peratus, dan seramai 587 individu telah ditahan ekoran ingkar PKP.

 

“Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang melanggar PKP akan dikenakan kompaun RM1,000. Justeru, saya mohon agar rakyat Pulau Pinang sepakat serta terus menghormati undang-undang dan mematuhi PKP ini. Ayuh, buktikan kita boleh!’’ serunya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD

Video : ALVIE CHENG