Pertubuhan Penduduk Komuniti Kepala Gajah johan Anugerah Komuniti Mampan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

SEBERANG JAYA – Impian untuk menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2022 hanya mampu direalisasikan menerusi amalan kitar semula dan pengurangan penghasilan sampah.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, amalan kitar semula bukan lagi suatu acara khas, sebaliknya harus dijadikan amalan gaya hidup seharian.

“Kitar semula perlu dilakukan setiap hari… bukan lagi pada acara-acara atau majlis tertentu sahaja, dan perkara utama yang perlu dilakukan oleh komuniti Seberang Perai khususnya adalah dalam mengurangkan penghasilan sampah.

“Perkara ini sahaja mampu merealisasikan impian menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya rendah karbon kelak,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Anugerah Komuniti Mampan 2016-2017 dekat Ibu Pejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod, Ahli-ahli Majlis MPSP dan Pengurus Amphenol TCS Bukit Minyak, Datuk Lee Tiong Lee.

Rozali dalam pada itu menyambut baik peningkatan jumlah penyertaan daripada 13 komuniti kepada 21 komuniti sejak anugerah tersebut dilancarkan pada tahun 2013.

Pada majlis tersebut, Pertubuhan Penduduk Komuniti Kepala Gajah, Seberang Perai Selatan (SPS) berjaya menggondol hadiah utama bernilai RM3,000.

Tempat kedua dimenangi Perbadanan Pengurusan Taman Pandan dengan hadiah bernilai RM2,500 dan Rukun Tetangga Taman Keenways (tempat ketiga, RM2,000).

Manakala, bagi Kategori Inovasi Khas dimenangi oleh Koperasi Lestari Alam Sekitar Seberang Perai Berhad dengan hadiah bernilai RM700 dan 11 pertubuhan serta komuniti lain masing-masing menerima RM500 sebagai hadiah sagu hati.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Penduduk Komuniti Kepala Gajah, Tan Chor Soon ketika ditemui berkata, program upcycle sememangnya menjadi penekanan penting bagi pertubuhan tersebut.

“Menerusi program ini, kami mengguna semula bahan-bahan terbuang khususnya paket minuman segera (3 in 1) dan menganyamnya menjadi beg dan sebagainya.

“Jika sebelum ini banyak lambakan bahan terbuang, tetapi kini di komuniti Kepala Gajah, kami giat mempelajari seni upcycle mengubah barangan terbuang untuk dijadikan suatu barangan baharu yang boleh digunakan,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara ketika ditemui pada majlis berkaitan.