Catur Dalam Taman, riadah sambil nikmati keindahan alam

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Seramai 149 peserta mengambil bahagian dalam Pertandingan Catur Dalam Taman Tahun 2017 yang diadakan di Taman Bandaraya di sini baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Persatuan Catur Negeri Pulau Pinang tersebut dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kategori Terbuka, Bawah 12 Tahun, Bawah 10 Tahun dan Bawah 8 Tahun.

Pengarah Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Rashidah Jalaludin berkata, pertandingan tersebut akan diteruskan setiap tahun bagi mempromosi serta memperluaskan permainan catur di peringkat negeri Pulau Pinang dan kebangsaan.

“Tujuan utama penganjuran ini adalah bagi membolehkan para peserta menikmati suasana dan keindahan di dalam Taman Bandaraya selain menjalankan aktiviti riadah seperti permainan catur dan aktiviti-aktiviti lain.

“MBPP sentiasa menyokong dan memberi komitmen kepada pelbagai aktiviti riadah khususnya di Pulau Pinang,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Catur Negeri Pulau Pinang, Lee Ewe Ghee.