Pembinaan rumah contoh perlu ikut garis panduan baharu

PADANG KOTA – Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) barubaru ini meluluskan garis panduan bagi bilik pameran, rumah contoh, pejabat jualan dan bangunan sementara dengan had maksimum ketinggian 13.5 meter atau tidak melebihi tiga tingkat.

Perkara tersebut dinyatakan Ahli Majlis bagi MBPP, Nur Zarina Zakaria pada satu sidang media sejurus Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 08 Tahun 2017 dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota di sini baru-baru ini.

“Kita harap agar pemaju dan kontraktor jelas tentang keputusan ini yang mana sebelum ini tiada sebarang garis panduan dalam menyediakan rumah contoh dan yang sama dengannya.

“Kita tidak mahu terjadi sebarang implikasi seperti rumah tersebut dijual terus kepada orang ramai tanpa pengisytiharan kepada pihak MBPP.

“Justeru, jawatankuasa memutuskan garis panduan ini sebagai wajib kepada pemaju yang mendirikan contoh,” jelasnya.

Tambah Nur Zarina, rumah contoh dan rumah sebenar adalah berbeza terutamanya dari segi kebenaran merancang, bayaran dan undang-undang yang ditetapkan MBPP.