Pertukangan perabot kayu palet mampu beri hasil lumayan – Syerleena

SERI DELIMA – Kayu palet yang dahulunya dipandang sepi kini menjadi rebutan apabila digunakan sebagai perabot yang unik dan tahan lasak.

 

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, perabot kayu palet mempunyai pasarannya yang tersendiri dan hasil butan daripada kayu palet amat mengagumkan.

 

“Dalam keadaan ekonomi yang ‘kurang sihat’ kini, kita seharusnya menjadi lebih kreatif dan terus berusaha untuk menambah pendapatan dengan mengasah bakat pertukangan yang ada dalam diri belia.

 

ANTARA peserta yang sedang menyiapkan tugasan akhir. Turut kelihatan Syerleena Abdul Rashid (berdiri, kiri sekali) yang meluangkan masa melihat hasil kerja peserta.

“Selaras dengan itu, saya telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan projek perintis bengkel pembuatan perabot kayu palet bagi membolehkan golongan belia khasnya menceburi bidang pertukangan kayu seperti ini, sekaligus mampu memberi hasil yang lumayan.

 

“(Dan) insyaAllah akan menganjurkan bengkel susulan peringkat berikutnya pada Februari tahun hadapan,” katanya ketika ditemui sejurus menyempurnakan penyampaian sijil kepada 16 peserta Bengkel Pembangunan Usahawan Muda Pembuatan Perabot Kayu Palet di Dewan Balai Rakyat Taman Tun Sardon dekat sini baru-baru ini.

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, N. Vijayan Kumar; Pengarah Khidmat Masyarakat, Rashidah Jalaludin serta pengasas The Kayu Pallet yang juga tenaga pengajar, Mohd. Khasfullizam Md. Saad.

 

Mengulas lanjut, Syerleena berharap bengkel tersebut dapat memberi manfaat kepada peserta dengan memperkenalkan asas pertukangan kayu palet.

 

“Ilmu yang diperoleh melalui bengkel ini saya harap dapat digunakan pada masa hadapan dan saya doakan agar anda (peserta) semua berjaya mungkin sebagai usahawan muda dalam bidang penghasilan perabot kayu palet,” katanya yang turut menyuarakan cadangan mengadakan bengkel khas untuk warga emas pada masa hadapan.

 

LOO Ching Lin.

Bagi Loo Ching Lin, 36, seorang suri rumah sepenuh masa, percaya bahawa ilmu yang diperoleh ini amat berguna terutama dalam mengisi masa lapang.

 

 

“Sebelum ini semasa di sekolah sahaja kita belajar tentang pertukangan iaitu melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup…selepas itu (tamat persekolahan) tidak lagi menggunakan ilmu itu.

 

“Jadi saya buat keputusan menyertai bengkel ini dan saya suka melihat hasil akhir perabot kayu palet ini, sangat cantik dan praktikal,” katanya yang merupakan satu-satunya peserta wanita.

 

 

Sanggup datang dari Tanah Merah, Kelantan, pemuda berusia Muhamad Safwan Shah Mahadi, 24, sememangnya meminati kerja-kerja pertukangan.

 

MUHAMAD Safwan Shah Mahadi.

“Sebelum ini saya pernah buat sikit-sikit projek (berasaskan kayu palet) ini tapi masa tu tak tahu sangat apa alat yang digunakan…jadi apabila sertai bengkel empat hari ini, saya (sudah) tahu nak buat meja laci dan perabot-perabot lain.

 

“Banyak ilmu yang saya peroleh kerana tenaga pengajar pun ajar satu persatu sehingga terhasilnya perabot,” ujarnya pelajar Universitas Islam Al-Azhar Mataram (Unizar), Indonesia yang berminat untuk menjadikan pertukangan perabot kayu palet sebagai hobi.

 

Apabila ditanya sama ada akan menyertai bengkel susulan, pelajar bidang usuluddin dan kaunseling itu yakin tidak akan melepaskan peluang tersebut.

 

Bengkel Pembangunan Usahawan Muda Pembuatan Kayu Palet diadakan selama empat hari bermula 5 hingga 8 September lalu dan disertai oleh 16 orang belia pelbagai latar belakang dan kaum.

 

Menariknya, bengkel yang diadakan ini adalah percuma dan ia merupakan inisiatif bersama pihak ADUN, MBPP dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.

ANTARA perabot kayu palet yang dihasilkan oleh peserta.
SALAH seorang peserta sedang membuat ukuran pada kayu palet.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN