Pertumbuhan KDNK dilihat bakal beri kelebihan kepada Pulau Pinang dalam penyediaan Bajet 2023

Admin
Ketua Menteri bersama-sama Steven Sim Chee Keong dan wakil-wakil berkaitan semasa sesi dialog Belanjawan 2023 dekat Komtar di sini sebentar tadi.

GEORGE TOWN – Pertumbuhan ekonomi positif yang dicatatkan oleh Pulau Pinang dilihat bakal memberi kelebihan kepada negeri ini dalam penyediaan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari 2023.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata bahawa Pulau Pinang menunjukkan prestasi cemerlang dengan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) yang menjangkaui pencapaian pada peringkat nasional pada tahun 2021.

“Syabas kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pencapaian cemerlang dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

“Ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang sangat berdaya tahan sekali gus melambangkan kedudukan negeri ini sebagai salah satu penjana ekonomi utama negara.

“Sebagai antara pihak berkepentingan dalam penyediaan Bajet 2023, kita (Kementerian Kewangan) akan cuba memberikan perhatian yang lebih tinggi kepada Pulau Pinang selaku penjana ekonomi utama negara kita,” katanya pada Sesi Dialog Belanjawan 2023 Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama delegasi Kementerian Kewangan dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri menyampaikan cenderahati kepada Steven Sim Chee Keong seusai sesi dialog yang diadakan.

 

Sesi dialog yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow itu turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Pegawai Kewangan Negeri, Zubaidah Safar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Timbalan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Nor Azizati Hamzah serta wakil-wakil dari Pejabat Timbalan Menteri Kewangan dan Belanjawan Negera.

Chee Keong berkata, sesi dialog yang diadakan itu adalah bertujuan untuk memperhalusi beberapa perkembangan terbaru berikutan penyerahan input daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Kementerian Kewangan pada September tahun lalu.

“Secara praktikalnya, perubahan pada segi bajet itu tidak terlalu banyak tetapi saya rasa apa yang kita boleh lakukan adalah mengenal pasti beberapa keutamaan (projek) yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk dipertimbangkan dalam penyediaan bajet.

“Perbincangan berterusan ini membolehkan apa-apa yang tidak sempat dimasukkan dalam Bajet 2023 akan diberikan ruang yang lebih besar dalam Bajet 2024 nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa 10 projek keutamaan yang disenaraikan oleh Kerajaan Negeri dijangka memberi impak besar serta kesan langsung terhadap peningkatan taraf hidup rakyat Pulau Pinang.

“Sebagai makluman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 126 projek pembangunan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.72 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 projek keutamaan telah dikenal pasti dan senarai tersebut telah dihantar kepada pihak Kementerian (Kewangan) pada 14 September tahun lepas.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati atas kehadiran delegasi dari Kementerian Kewangan untuk bersama-sama meneliti senarai projek ini dan diharap akan mendapat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Difahamkan, 10 projek keutamaan dimohon oleh Kerajaan Negeri adalah Pelan Pembangunan Fizikal Pulau Aman; Penang Green Connectors dan North Seafront Programme; pembangunan semula Dewan Sri Pinang (DSP); menaik taraf Bangunan Astaka Bukit Bendera; pembangunan dan restorasi bangunan warisan ‘Gate House (Bel Retiro) sebagai Penang Hill Gallery @ Gate House’ yang berkonsepkan edupelancongan; ‘Management Industrial Land’ untuk Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP).

Selain itu, 10 projek keutamaan turut merangkumi projek PPR Ujong Batu di atas sebahagian tanah Kerajaan; pembinaan jalan bawah (underpass) untuk menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma di persimpangan Jalan Mount Erskine/Jalan Gottlieb/Jalan Burma/Jalan Bagan Jermal, Seksyen A; Jalan Bawah; Rancangan Tebatan Banjir di Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang bagi mengurangkan risiko banjir dan naik taraf Sistem Private Autimatic Branch Exchange (PABX) Hospital Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT