Peruntuk geran, subsidi yuran demi perkasakan keupayaan urus TASKA, pusat jagaan kanak-kanak

Admin

GEORGE TOWN – Dalam memberi galakan terhadap pembinaan taman asuhan (TASKA) dan pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendekatan dengan memperkenalkan tiga inisiatif kepada pengusaha berkaitan.

 

Exco Pembangunan Sosial, Chong Eng berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memastikan penjagaan awal kanak-kanak yang holistik bahkan membantu golongan ibu dan bapa yang bekerja untuk menempatkan anak-anak mereka di tempat yang selamat.

 

“Usaha ini juga membolehkan lebih ramai golongan wanita untuk keluarga bekerja dan menyumbang tenaga serta kemahiran secara produktif tanpa perlu rasa bimbang.

 

“Malah, ia (inisiatif) merupakan peluang untuk semua kanak-kanak mendapatkan pendidikan awal berkualiti dan selamat,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Geran Penubuhan, Geran Naik Taraf dan Skim Bantuan Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak di Komtar pada 7 Jun 2023.

 

Hadir sama, Shahrin Nizar Aizudin mewakili Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dan Anas Salimi Ghazali dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

CHONG Eng (tengah) menyerahkan replika cek kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pada majlis berkaitan.

Mengulas lanjut, Chong Eng memaklumkan bahawa berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah mengenai trend penglibatan tenaga kerja mendapati kurangnya penglibatan wanita disebabkan oleh tanggungjawab dalam penjagaan anak.

 

“Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan jumlah tenaga kerja wanita di Malaysia pada suku keempat tahun 2020 berkurangan berbanding tahun sebelumnya iaitu dari 6.18 juta kepada 6.16 juta pekerja wanita.

 

“(Sehubungan itu), Kerajaan Negeri sentiasa memberi galakan termasuk memberi insentif dalam membantu mengembangkan perusahaan TASKA dan pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini,” katanya.

 

Menurut Chong Eng, selain pembinaan baharu TASKA dan pusat jagaan kanak-kanak, Kerajaan Negeri turut mahu memperkasakan lagi keupayaan serta pengurusan premis serta mengutamakan aspek pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

 

“Walaupun bukan tanggungjawab Kerajaan Negeri tetapi demi anak-anak Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri) berhasrat membantu untuk melatih penjaga di taman-taman asuhan dan pusat-pusat jagaan di sini pada masa depan.

 

“Selain itu, kita juga akan teruskan pemberian bantuan pengasuhan dan didikan serta pemberian geran (yang mana) tahun ini merupakan tahun ketiga diadakan melibatkan pelaburan sebanyak RM846,200 yang memanfaatkan 592 kanak-kanak di 124 TASKA, pusat jagaan kanak-kanak dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA).

 

“Inisiatif Kerajaan Negeri ini juga akan membuka peluang kepada semua kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti selaras dengan Visi Penang2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan keluarga dalam sebuah negeri pintar dan hijau.

 

“Saya berharap dengan pemberian ini akan memberi dorongan kepada pengusaha TASKA, TADIKA dan pusat jagaan kanak-kanak untuk memantapkan lagi perkhidmatan sosial sekali gus memastikan kesaksamaan dalam pendidikan sentiasa terjamin,” jelasnya.

ANTARA penerima geran.

Pada majlis itu, Chong Eng menyerahkan Geran Penubuhan TASKA dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Baharu kepada tujuh pengusaha dengan peruntukan sebanyak RM219,000 yang mana Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM300,000 setahun.

 

Selain itu, beliau juga menyerahkan Geran Naik Taraf TASKA dan pusat jagaan kanak-kanak kepada 11 pengusaha yang berjaya membuat permohonan dengan peruntukan berjumlah RM166,000. Bagi kategori ini, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM300,000 setahun dengan had nilai adalah RM20,000 bagi setiap permohonan.

 

Manakala, bagi Skim Bantuan Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak pula, seramai 68 kanak-kanak dari 26 TASKA menerima RM600 setahun atau RM50 sebulan termasuk 524 kanak-kanak dari 80 TADIKA. Skim ini menyediakan bantuan subsidi yuran kepada kanak-kanak dari keluarga yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,894 di premis asuhan dan didikan kanak-kanak berdaftar di negeri ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD