GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengekalkan peruntukan tahunan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang sebanyak RM60,000 bagi tahun 2025.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika menjawab soalan ADUN Penanti, Zulkefli Bakar pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini tengah hari tadi.
“Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM60,000 kepada ADUN Pembangkang dan jumlah tersebut akan dikekalkan bagi tahun 2025.
“Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menambah peruntukan kepada ADUN Pembangkang, memandangkan Kerajaan Negeri telah melantik Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) di kawasan-kawasan tersebut.
“Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 kepada ADUN Kerajaan; RM60,000 ADUN pembangkang (RM60,000) dan PPK (RM100,000),” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Tambah beliau, tidak timbul isu pembangunan kerana Kerajaan Negeri turut mengambil maklum permasalahan di kawasan-kawasan pembangkang termasuk peruntukan-peruntukan lain dari Persekutuan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD