GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan generasi muda menerusi Dana Pembangunan Belia dengan jumlah peruntukan meningkat RM100,000 berbanding tahun sebelumnya menjadikan jumlah tahun 2026 sebanyak RM200,000.
Perkara tersebut diumumkan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen dalam satu sidang media sempena pelancaran dana berkenaan di Komtar sebentar tadi.
Menurut beliau, tahun 2026 merupakan tahun ketiga pelaksanaan inisiatif di bawah portfolio MMK Belia, Sukan dan Kesihatan.
“Dana Pembangunan Belia ini merupakan antara inisiatif penting dalam memastikan pelaburan berterusan terhadap pembangunan modal insan muda di negeri ini sejajar aspirasi Penang2030,” ujarnya.

Mengulas mengenai peningkatan peruntukan, Zi Sen berkata ia bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam merancakkan penganjuran program dan aktiviti berimpak tinggi bagi memperkasa potensi, kepimpinan serta keupayaan belia di negeri ini.
“Pada tahun 2024, sebanyak RM102,000 telah diluluskan, manakala RM99,800 diluluskan pada tahun 2025 dengan keseluruhan 99 program berjaya dilaksanakan dalam tempoh dua tahun tersebut.
Pencapaian ini membuktikan bahawa dana ini benar-benar dimanfaatkan oleh pertubuhan belia dan memberi kesan langsung kepada pembangunan belia dan komuniti.
“Justeru, peningkatan peruntukan bagi tahun 2026 menunjukkan agenda pembangunan belia terus menjadi keutamaan strategik Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Zi Sen turut memaklumkan bahawa dana tersebut terbuka kepada pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY); sayap pemuda persatuan yang berdaftar di bawah Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kecuali parti-parti politik serta badan-badan yang tidak berdaftar di bawah ROY atau ROS tetapi berdaftar di bawah Akta Parlimen, dengan syarat beralamat dan beroperasi di Pulau Pinang.
“Program yang dimohon mestilah menyasarkan golongan belia berumur 15 hingga 35 tahun yang berasal dari atau bermastautin di Pulau Pinang, meliputi aspek kemahiran, kebolehpasaran, kesukarelawanan, kepimpinan, berpersatuan serta program pengiktirafan atau penganugerahan.
“Program berbentuk sukan tidak akan dipertimbangkan di bawah dana ini kerana mempunyai saluran pembiayaan berbeza.
Permohonan bagi tahun 2026 kini telah dibuka sehingga 12 April 2026 untuk program yang akan dilaksanakan sebelum 15 November 2026.
“Semua permohonan hendaklah dikemukakan melalui laman web rasmi Dana Pembangunan Belia 2026 dan akan dinilai secara teliti serta profesional oleh Jawatankuasa Penilaian Dana Pembangunan Belia,” jelasnya sambil mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk pertubuhan belia di negeri ini.
Dalam pada itu, Zi Sen berkata bahawa satu sesi taklimat akan diadakan pada 13 Mac 2026, jam 9.30 malam secara dalam talian bagi memperincikan garis panduan serta tatacara permohonan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Chong Wei Hoong yang juga Ahli Lembaga Pengarah PYDC; Pengurus Besar PYDC, Edry Faizal Eddy Yusof serta wakil daripada Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang dan Majlis Belia Negeri antara yang turut serta dalam sidang media berkenaan.
Maklumat lanjut, sila hubungi urus setia melalui talian 011-1144 5866 atau melalui e-mel rasmi di [email protected].
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ALISSALA THIAN