Peruntukan HEB Pulau Pinang dinaikkan kepada RM2 juta setahun

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan peruntukan geran tahunan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang daripada RM1.5 juta kepada RM2 juta pada tahun akan datang.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan tersebut adalah bagi melaksanakan pelbagai projek khas merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan.

 

 

“Bagi membantu pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pula, seramai 2,932 pelajar layak telah menerima pembiayaan biasiswa berjumlah RM4,180,367.33 sejak tahun 2010 sehingga 2023.

 

 

“Walaupun perhatian diberikan kepada tahap pendidikan lebih tinggi, peruntukan kepada sekolah-sekolah juga tidak pernah diabaikan.

 

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

 

 

“Manakala bagi tadika di sekolah Tamil, peruntukan ditingkatkan daripada RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000),” ujarnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan HEB Pulau Pinang di sini petang tadi.

 

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Lembaga HEB Pulau Pinang, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ahli Parlimen Jelutong merangkap Pengerusi HEB Pulau Pinang, R.S.N. Rayer dan Ahli-ahli Lembaga HEB Pulau Pinang.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa beliau sedar pendidikan adalah asas kepada pembinaan tamadun dan pemerkasaan komuniti di samping pembentukan sahsiah yang terpuji.

 

 

“Oleh itu, saya sendiri dan Exco yang terlibat akan terus memantau usaha-usaha untuk membangunkan masyarakat India di Pulau Pinang meliputi pelbagai aspek,” ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu lanjut.

 

 

Pada majlis tersebut seramai 264 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat institut pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan cek daripada HEB Pulau Pinang berdasarkan peringkat pengajian.

 

 

Bagi peringkat Ijazah, para pelajar menerima bantuan berjumlah RM1,000, Diploma (RM800) dan Sijil (RM500).

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD