Peruntukan RM1.6 juta bantu lancarkan operasi Yayasan Islam Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) hari ini menerima peruntukan tahunan berjumlah RM1.6 juta daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemberian peruntukan dalam bentuk geran tahunan itu adalah bagi membantu melicinkan operasi YIPP termasuk penganjuran kepelbagaian program berkaitan agama Islam di negeri ini.

“Kerajaan Negeri memutuskan untuk menyalurkan geran tahunan kepada YIPP yang mana peruntukan ini sepatutnya dimasukkan dalam belanjawan negeri pada setiap tahun.

“Peruntukan ini disalurkan bagi membolehkan YIPP menjalankan fungsinya dengan sebaik mungkin demi manfaat seluruh umat Islam di Pulau Pinang,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas menyerahkan peruntukan tahunan tersebut dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir menerima serahan peruntukan tersebut ialah Pengurus Besar YIPP, Mohd. Fitri Ibrahim.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Mohd. Fitri menjelaskan bahawa peruntukan Kerajaan Negeri kepada YIPP meningkat sebanyak RM500,000 pada tahun ini daripada RM1.1 juta pada tahun lepas.

“YIPP merupakan agensi Kerajaan Negeri yang diletakkan di bawah kawal selia Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Kita melaksanakan program berbentuk pendidikan dinamakan program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Menengah membabitkan 11 masjid seluruh daerah dan telah memberi manfaat kepada seramai 360 pelajar.

“Selain itu, kita (YIPP) juga menganjurkan kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di semua projek perumahan rakyat (PPR) dan kawasan luar bandar.

“Justeru, dengan peruntukan berjumlah RM1.6 juta yang diterima pada tahun ini, ia akan digunakan untuk menampung operasi YIPP dan kos bagi penganjuran program-program berkaitan pendidikan untuk umat Islam di negeri ini,” katanya sambil menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas pemberian peruntukan tahunan tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN