PERUNTUKAN TANGANI BANJIR PULAU PINANG ke mana baki RM2.15 bilion?

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang menerima hanya 16 peratus atau kira-kira RM443 juta sahaja, jika benar peruntukan asal Kerajaan Pusat untuk projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini adalah berjumlah RM2.6 bilion.

Justeru, Guan Eng menggesa Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang juga Pengerusi Umno Negeri supaya menyenaraikan semua projek rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai RM2.6 bilion berkaitan.

“Daripada RM2.6 bilion ini, hanya RM443 juta dibelanjakan, iaitu hanya 16 peratus daripada apa yang diperuntukan.

“Maka, kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) nak tahu ke mana perginya RM2.15 bilion ringgit ini,” soalnya pada sidang media di sini 28 September lalu.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim serta Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Guan Eng memberitahu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang sendiri merekodkan sejak tahun 2006, sejumlah RM433 juta sahaja dibelanjakan untuk projek-projek RTB di negeri ini.

Justeru, katanya, pembangkang Pulau Pinang hanya mencari dalih menutup kelemahan Kerajaan Pusat dalam menyalurkan peruntukan RTB berwajib untuk Pulau Pinang, ketika negeri ini pada 15 September dilanda banjir.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada 26 September lalu mendedahkan peruntukan asal yang dijanjikan dalam RMK-9 dalam tempoh tahun 2006 hingga 2010 adalah RM1.4 bilion, tetapi Kerajaan Pusat meminda bajet itu dan membelanjakan RM306 juta sahaja.

Katanya, peruntukan asal yang dijanjikan dalam RMK-11 (2011 – 2015) adalah RM193 juta, lalu dipinda menjadi RM132 juta sebelum Kerajaan Pusat membelanjakan RM125 juta sahaja.

Dalam RMK-11 (2016 – 2020) pula, peruntukan asal yang dijanjikan adalah RM205 juta, lalu dipinda menjadi RM23 juta dan Kerajaan Persekutuan baru berbelanja RM12 juta sahaja untuk projek menangani masalah banjir di negeri ini.