Perusahaan makanan laut, ikan sangkar tarikan produk ekonomi kreatif

KEPELBAGAIAN produk pelancongan yang terdapat di Seberang Perai Selatan (SPS) terutamanya di kawasan Bukit Tambun menjadikan lokasi tersebut sangat berbaloi untuk diterokai.

Terbaharu, perusahaan makanan laut seperti udang lipan, siput lala dan penternakan ikan sangkar merupakan produk ekonomi kreatif yang boleh digilap sebagai tarikan pelancongan popular di negeri ini.

Ikan sangkar yang diusahakan di perairan Pulau Aman.

Hal ini kerana, makanan laut (seafood) mempunyai penggemar tersendiri sehingga ada yang sanggup membayar ratusan ringgit semata-mata untuk menikmati kesegaran rasanya.

Malah, menurut satu kajian yang dijalankan Dana Sedunia Ala Semula Jadi Malaysia (WWF – Malaysia) pada tahun 2013 mendapati rakyat Malaysia adalah pengguna keenam terbesar makanan laut di peringkat global dengan 56.5 kilogram (kg) perkapita.

Justeru, baru-baru ini pasukan Buletin Mutiara bersama-sama Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, YEOH SOON HIN dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, GOH CHOON AIK berkesempatan melawat perusahaan berkaitan dekat Daerah SPS.

Perusahaan udang lipan

Pemilik perusahaan Eng Seng Fishery, TAN KIAN POO, 65, berkata bahawa beliau memilih untuk menjalankan perusahaan mengeksport udang lipan kerana hidupan laut itu mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

Tan Kian Poo.

Beliau berkata, faktor tersebut penting kerana kebanyakan hasil udang lipan yang dibeli daripada nelayan tempatan akan dieksport ke Hong Kong dan Amerika Syarikat menggunakan jalan laut.

“Walaupun perjalanan ke Amerika Syarikat contohnya, mengambil masa kira-kira 40 jam tetapi udang lipan masih lagi segar apabila sampai di sana.

“Selain itu, harga udang lipan juga sangat tinggi di pasaran terutamanya di luar negara yang mana harga bagi sekilogram boleh mencecah lebih RM200.

“Namun begitu, pergolakan yang berlaku di Hong Kong baru-baru ini berserta penularan pandemik COVID-19 menyebabkan udang-udang ini tidak boleh dieksport ke sana,” ujarnya.

Kian Poo memberitahu bahawa penularan pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan kos operasi serta pengangkutan laut terutamanya ke Amerika Syarikat meningkat tinggi sekali gus menjejaskan perniagaannya.

Udang lipan yang dieksport ke Hong Kong.

“Disebabkan kos pengangkutan ke Amerika Syarikat meningkat dengan sangat tinggi, maka saya membuat keputusan untuk menghentikan eksport udang lipan ke sana sejak bulan Mei lalu.

“Keadaan ini sekali gus mengakibatkan berlakunya lambakan udang lipan di pasaran baru-baru ini, dan hasil yang dibeli juga terpaksa dibela dalam tempoh yang agak lama.

“Ini menyebabkan kos operasi menjadi semakin meningkat kerana kami terpaksa menambah kuantiti makanan udang,” jelasnya yang telah menjalankan perusahaan tersebut sejak 30 tahun lalu.

Difahamkan, udang lipan yang dieksport oleh syarikat Eng Seng Fishery adalah diperoleh  dari laut dalam yang dibeli dengan harga RM150 sekilogram daripada nelayan tempatan.

Penternakan ikan sangkar

Pulau Aman yang berkeluasan 128 hektar bukan sahaja terkenal dengan produk ekopelancongan, malah turut menjadi antara lokasi pengeluar hasil penternakan ikan sangkar terbesar di negara ini.

Memetik laporan media tempatan, pengeluaran ikan sangkar dari Pulau Aman menyumbang kepada 50 peratus hasil ikan ternakan di pasaran Malaysia.

Leang Wei Chi.

Goh Siong Tee Group (GST Group) merupakan antara syarikat pengeluar ikan terkenal di perairan Pulau Aman yang menjalankan penternakan secara mesra alam serta mampan.

Malah, ikan yang dibekalkan GST Group memiliki sijil tempatan dan antarabangsa untuk memastikan ia berkualiti tinggi selain mempunyai label khas ‘Friend of The Sea’ dan sijil halal.

Pengurusnya, LEANG WEI CHI, 32, memberitahu bahawa kawasan penternakan milik GST Group mempunyai lebih 300 sangkar dan kebanyakan untuk eksport terutamanya ke Hong Kong.

“Setiap satu petak kita akan lepaskan sebanyak 40,000 ekor anak ikan yang terdiri daripada spesies bawal, jenahak, ikan merah dan kerapu yang mana kadar hidup benih ikan ini adalah pada tahap 80 peratus.

“Sementara spesies ikan yang paling banyak mendapat permintaan sama ada di pasaran tempatan mahupun luar negara terutamanya di Hong Kong adalah jenis Bawal Emas dan kerapu.

Jenahak merah yang sudah matang.

“Ikan-ikan ini mengambil masa selama empat bulan sebelum boleh dieksport atau dijual di pasaran tempatan dengan hasil yang akan diperoleh dalam tempoh tersebut adalah antara 400 hingga 600 kg,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Wei Chi berkata, penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun lepas turut menjejaskan hasil eksport.

“Ini kerana kapal dari Hong Kong tidak dibenarkan masuk ke perairan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dan kapal-kapal ini hanya dibenarkan masuk pada September 2021.

“Bukan itu sahaja, permintaan pasaran tempatan juga merosot teruk disebabkan banyak restoran dan hotel terpaksa ditutup selain polisi kerajaan yang tidak membenarkan majlis keraian diadakan sepanjang tempoh PKP.

“Ini menyebabkan ikan-ikan sangkar terpaksa dibela dalam tempoh yang agak lama, dan saiznya sudah tidak menepati kehendak pasaran selain kos makanan menjadi semakin meningkat.

Bawal Emas dapat permintaan tinggi dari Hong Kong.

“Satu lagi masalah yang kami hadapi adalah kekurangan sumber tenaga buruh memandangkan kerajaan masih tidak membenarkan kemasukan pekerja asing sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19,” ulasnya.

Dalam pada itu, Wei Chi menjelaskan bahawa keadaan cuaca yang tidak menentu merupakan ancaman utama bagi pengusaha ikan sangkar laut.

“Selain itu, kekurangan oksigen dalam air laut akibat perubahan kualiti air serta pencemaran seperti pembuangan sampah-sarap, tumpahan minyak dan pelepasan sisa dari kilang merupakan masalah yang sering dihadapi oleh pengusaha ikan sangkar,” ujarnya lagi.

Difahamkan, GST Group yang ditubuhkan pada tahun 1985 turut mempunyai kilang memproses makanan ikan sendiri dekat Bukit Minyak.

Perusahaan siput lala

Satu lagi produk hasil laut yang boleh digilap untuk tarikan pelancong adalah perusahaan pembungkusan siput lala oleh syarikat Low Bak Sing Enterprise yang dijalankan sejak 20 tahun lalu dekat Bukit Tambun.

Low Bak sing.

Lala juga dikenali sebagai siput retak seribu di utara Malaysia, merupakan nama sejenis moluska dwicangkerang yang boleh dimakan dan ia hidup di kawasan pantai berlumpur dan berpasir.

Pemiliknya, LOW BAK SING, 58, memberitahu bahawa hasil laut berkenaan kebanyakannya didapati dari perairan Pulau Pinang hingga ke Langkawi, Kedah.

“Siput lala mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran kerana boleh menghasilkan pelbagai menu menarik.

“Tambahan pula, siput lala yang kami peroleh adalah di perairan Kuala Muda, Kedah yang mana ia berkualiti dan lebih tahan.

“Dulu, kita juga menjalankan kerja-kerja penangkapan tetapi sekarang kita lebih fokus kepada pembungkusan sahaja,” jelasnya.

Pekerja sedang mengasingkan siput lala untuk dibungkus sebelum dihantar kepada pelanggan.

Bak Sing memberitahu bahawa sebelum penularan pandemik COVID-19, kira-kira 8,000 kg siput lala akan dihantar setiap hari ke beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor termasuk Singapura.

“Biasanya, dalam sehari kita membeli sekitar empat tan metrik siput lala daripada nelayan tempatan untuk dihantar kepada pengusaha di beberapa negeri mengikut permintaan mereka.

“Walau bagaimanapun, sejak penularan pandemik, hasil lala yang dijual di pasaran berkurang kepada 1,000 kg sehari dan adakalanya hanya mencecah 300 kg sahaja.

“Ini mungkin berpunca daripada banyak restoran dan kedai makannterpaksa ditutup dalam tempoh pelaksanaan PKP,” ulasnya.

Makanan laut produk unik

Sementara itu, Soon Hin menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti produk-produk baharu yang ada di negeri ini untuk diangkat sebagai intipati pelancongan menarik.

Oleh itu menurut beliau, makanan laut dilihat antara yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan unik untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Pulau Pinang sama ada dari dalam dan luar negara.

Yeoh Soon Hin (kiri) ketika melawat perusahaan udang lipan dekat Bukit Tambun baru-baru ini.

 

“Perusahaan makanan laut seperti udang lipan, siput lala dan penternakan ikan sangkar merupakan produk ekonomi kreatif yang boleh menarik kehadiran pelancong ke negeri ini terutamanya di Daerah SPS.

“Oleh itu, pejabat saya sedang berusaha mengumpul senarai pengusaha ikan sangkar serta makanan laut di seluruh negeri, dan kita akan menjemput agensi berkaitan untuk merangka garis panduan bagi menyuntik elemen pelancongan  ke dalam perusahaan ini.

“Ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan lagi produk pelancongan termasuk menggabungkan elemen semula jadi seperti sumber marin, pertanian serta ekopelancongan.

“(Dan) Daerah SPS terutamanya Bukit Tambun mempunyai elemen- elemen ini yang mana kita boleh mengintegrasikannya untuk menjadi produk pelancongan istimewa,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas lawatan tersebut.

Soon Hin memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sebelum ini telah melancarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri (PTMP) yang memberi tumpuan kepada usaha-usaha agresif untuk membawa seramai mungkin pelancong domestik ke negeri ini.

“Oleh itu, adalah penting untuk Kerajaan Negeri meneroka lebih banyak produk pelancongan baharu dalam menjadikan sektor ini lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Goh Choon Aik menunjukkan siput lala yang siap dibungkus.

“Usaha tersebut bukan sahaja membawa manfaat kepada ekonomi negeri tetapi turut membantu masyarakat tempatan termasuk nelayan, petani, pengusaha makanan laut dan lain-lain untuk menjana lebih pendapatan,” ujarnya.

Mengulas mengenai Pulau Aman, Soon Hin menyatakan bahawa masih banyak usaha perlu dilakukan bagi mengenal pasti produk-produk unik di kawasan tersebut yang boleh dijadikan sebagai daya tarikan pelancong.

Dalam pada itu, Choon Aik berkata bahawa hasrat untuk mengembangkan sektor pelancongan di Daerah SPS memerlukan sokongan dan usaha berterusan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Selain Kerajaan Negeri, kita juga memerlukan sokongan tambahan daripada pelbagai agensi Persekutuan seperti Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut danlain-lain.

“Ini penting untuk memastikan jaminan keselamatan kepada pengunjung yang datang ke Pulau Aman,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD