Pesalah gagal bayar kompaun MPSP bakal hadapi tindakan mahkamah – Rozali

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang gagal melunaskan bayaran kompaun.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, masih terdapat kira-kira 2,000 kes kompaun membabitkan kesalahan meletakkan kereta masih belum dijelaskan selepas tamat tempoh promosi kompaun pada 27 Ogos lalu.

“Sepanjang tempoh promosi pengurangan kompaun dijalankan, sebanyak 38,641 kes telah dijelaskan dengan jumlah bayaran sebanyak RM768,720 membabitkan pelbagai kesalahan.

“Selain itu, selepas tempoh promosi pengurangan berakhir sehingga kini sebanyak lapan buah kenderaan yang mempunyai kesalahan kompaun melebihi 10 kes telah ditunda balik oleh MPSP.

“Setiap tuntutan semula kenderaan dikenakan caj sebanyak RM100 termasuk RM10 (sehari) bagi caj simpanan serta dikehendaki membayar kompaun-kompaun tertunggak.

“Bagi 2,000 kes kompaun yang masih gagal melunaskan bayaran pula, MPSP telah memajukan kes ini ke Jabatan Undang-undang untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Pejabat MPSP, dekat Bandar Perda pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP serta Ketua-Ketua Jabatan.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa pihaknya juga telah membeli sebuah lagi kenderaan tunda berharga RM238,000 bagi tujuan tujuan penguatkuasaan yang lebih serius.

“Tindakan yang diambil ini bukan hanya berkaitan hasil semata-mata tetapi lebih kepada untuk mendidik dan memberi kesedaran serta mendisiplinkan pengguna tempat letak kereta agar mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Sekali lagi, MPSP memberi amaran kepada pesalah-pesalah tegar ini supaya segera membayar kompaun-kompaun tertunggak sebelum tindakan lebih keras diambil,” tegasnya lagi.

Kenderaan tunda baru milik MPSP bertujuan meningkat dan memperhebat tindakan tundaan terhadap pesalah yang gagal membayar kompaun.

Dalam perkembangan lain, Rozali memberitahu bahawa bermula 1 Januari 2019, MPSP hanya menerima aduan-aduan yang dikemukakan penduduk menerusi aplikasi rasmi iaitu MyMPSP (MyMPSP apps) selain iKepoh, e-pintas, sistem aduan dalam talian di laman sesawang MPSP.

“Aplikasi ini hanya menggunakan tiga cara mudah iaitu dengan memuat naik gambar, melengkapkan maklumat lokasi dan maklumat akan dihantar terus ke Sistem Pemantauan Pintar.

“Oleh itu, aduan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan sebagainya tidak dapat dipantau secara efektif kerana MPSP menghadapi kesukaran untuk mengintegrasikan aduan melalui medium baru,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS