Pesalah trafik gagal atau ingkar bayar kompaun dirujuk ke mahkamah – YDP

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan merujuk pesalah trafik yang gagal atau ingkar daripada membayar kompaun berwajib ke mahkamah.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menegaskan bahawa mereka yang dirujuk ke mahkamah boleh dikenakan maksimum denda sehingga RM300, jika sabit bersalah bagi tiap-tiap kesalahan.

“Pihak MPSP memandang serius perkara ini, pesalah-pesalah yang ingkar untuk membayar kompaun letak kereta MPSP sehingga tamat tempoh notis akan dihadapkan ke mahkamah dan tindakan ini akan dipergiatkan lagi.

“Sekiranya pesalah gagal hadir ke mahkamah, waran tangkap boleh dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MPSP di sini baru-baru ini.

Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud dan barisan ahli majlis PBT berkenaan turut sertai sidang media tersebut.

Berdasarkan laporan statistik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, Maimunah memberitahu bahawa kompaun yang dikeluarkan di bawah Perintah Lalulintas Jalan Letak Kereta Berkupon MPSP 1995 adalah sejumlah 149,916 dalam tempoh tahun 2015 sahaja.

Manakala bagi tempoh tahun 2016 beliau memberitahu bahawa kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 169,475.

Tambah Maimunah, bagi tahun 2016, Direktorat Penguatkuasaan MPSP telah mendaftarkan sejumlah 3,276 kes kesalahan trafik di mahkamah, membabitkan pesalah yang gagalatau ingkar daripada membayar kompaun berwajib.

Tambahnya, 3,097 kes membabitkan mereka dari Daerah Seberang Perai Tengah, SPT dan Daerah Seberang Perai Utara, SPU (179). Tiada kes bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).