Jangan abai keselamatan ketika Earth Hour 2017

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan meraikan Earth Hour 2017 bersama-sama warga penduduk Seberang Perai pada 25 Mac ini, sebagaimana dilangsungkan saban tahun sebelum ini.

Justeru, Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif mengingatkan semua pihak supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan ketika acara mematikan semua lampu serta peralatan elektrik selama sejam mulai 8.30 malam di kediaman, pejabat serta premis komersial masing-masing.

“Ini adalah usaha untuk menjimatkan tenaga seluruh dunia.

“Hanya padam lampu exterior (iaitu lampu bangunan atau lampu perhiasan dan bukannya menutup lampu keseluruhan bangunan (blackout) sepenuhnya di premis masing-masing.

“(Semua warga Seberang Perai) dipohon untuk mengambil langkah-langkah keselamatan,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Difahamkan, World Wide Fun For Nature (WWF) dan Leo Burnett buat pertama kali menganjurkan Earth Hour atau Jam Bumi pada tahun 2007.

Ketika itu, kira-kira 2.2 juta penduduk Sydney dekat Australia bersama menjayakan kempen mereka, dengan memadamkan lampu yang tidak diperlukan di premis masing- masing.

Sejak itu, kempen tersebut menjadi acara penduduk sedunia yang dianjur saban tahun, pada Sabtu terakhir bulan Mac, sebagai tanda sokongan kempen meningkatkan kesedaran bahawa perlunya usaha sedunia dalam mengurangkan agen pemanasan global.