Pesara Pekerja Am MPPP terima PJK

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: LAW SUUN TING

PADANG KOTA – Tidak lupa…merupakan perkataan paling sesuai diberikan kepada Kerajaan Negeri yang mengambil inisiatif menganugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 11 pesara Pekerja Am Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sempena sambutan ulang tahun kelahiran Tuan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Ke-76 di sini baru-baru ini.

Mereka adalah, Teh Soon Lee, 67, Ng Eng Guan, 65, Ng Say Tee, 72, Low Chooi Chiew, 71, Law Kim Poh, 71, Sim Swee Cheng, 70, H’ng Lay Ear, 63, Tan Kooi Lai, 69, Tan Ah Pin, 78, dan Low Chooi Liang, 69.

Menurut Chooi Chiew, antara kerja yang mencabar sewaktu bertugas adalah soal kebersihan yang jarang sekali dilakukan semua orang.

“Saya cuci di kawasan pasar dan tandas awam sekitar Jalan Perak ketika mula bertugas, selepas itu, saya pernah juga ikut lori sampah kutip sampah di kawasan-kawasan perumahan.

“Selama 42 tahun sebelum bersara pada tahun 2013, pelbagai kerja pembersihan saya lakukan.

“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MPPP kerana masih menghargai jasa saya dan rakan-rakan sungguhpun sudah bersara,” jelas ayah kepada tiga orang anak tersebut kepada Buletin Mutiara sejurus selepas menerima penganugerahan PJK di sini baru-baru ini.

Turut hadir mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada kumpulan berkenaan adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Bagi Soon Lee, beliau tidak menyangka akan dikurniakan pingat sungguhpun telah 11 tahun menamatkan perkhidmatan.

“Kerja saya dahulu memang mencabar juga seperti menyapu sampah di jalan dan paling lama berkhidmat adalah pembersihan sekitar pasar dan tandas-tandas awam di sekitar Air Itam,’’ jelasnya yang berkhidmat selama 34 tahun dengan MPPP.

Ketika ditanya mengenai aktiviti harian selepas bersara, Soon Lee dengan seloroh menyatakan bahawa beliau kini hanya menghabiskan masa bermain dengan 10 cucunya.