Skuad 3D terharu & berterima kasih terima PJM

GEORGE TOWN – “Sudah tentu saya gembira dengan pengiktirafan Kerajaan Negeri dan MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) seperti ini!’’ luah  Pekerja Am Skuad 3D (dirty, dangerous & difficult) MPPP, Rosdi Othman, 54, yang menerima pengiktirafan darjah kebesaran Pingat Jasa Masyarakat (PJM) sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Ke-76 di sini baru-baru ini.

Beliau yang telah berkhidmat selama 35 tahun menyatakan bahawa bagi menyempurnakan amanat yang diamanahkan, setiap hari, beliau akan memulakan kerja menyapu seawal 6.30 pagi.

“Selain menyapu, saya juga cuci longkang di lokasi-lokasi sebagaimana diarahkan.

“Pengalaman yang tak boleh lupa…tak da rasanya… macam biasa juga rutin harian.

“Cuma, saya terharu kerana Kerajaan Negeri hargai orang macam kami walaupun hanya sebagai pekerja am,’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara pada sesi fotografi bersama Ketua Menteri selepas majlis penganugerahan tersebut di sini baru-baru ini.

Sejak mengambil tampuk pemerintahan, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) buat julung kalinya menganugerahkan PJM kepada para pekerja am pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini sebagai penghargaan di atas jasa serta pengorbanan yang dicurahkan.

Bersempena sambutan ulang tahun kelahiran TYT Ke- 76 baru-baru ini, seramai 10 Pekerja Am MPPP menerima penganugerahan berkenaan. Kumpulan tersebut merupakan skuad ketiga menerima penganugerahan sedemikian.

3D merupakan bidang tugas getir seperti berdepan atau membersihkan benda kotor, kadang-kala memerlukan individu terbabit turun ke dalam longkang atau saluran-saluran kecil dan juga berhadapan dengan objek merbahaya termasuk binatang-binatang berbisa seperti ular.

Seorang lagi penerima, Abdul Rahim Alla Pitchay, 60, yang juga telah berkhidmat selama 35 tahun menyatakan bahawa beliau amat terharu dan berterima kasih.

“Saya bakal pencen.

“Anugerah seperti ini amatlah membuatkan saya terharu dan berterima kasih kepada majikan (MPPP) yang menilai orang seperti kami hinggakan layak mendapat pingat (PJM) ini,” ujar ayah kepada tiga cahaya mata dan menetap di rumah pangsa Sungai Pinang di sini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng tidak menafikan bahawa pengorbanan golongan tersebut lazimnya membantu Kerajaan Negeri mencapai matlamat dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat.