PESAT lahirkan anak muda cemerlang & unggul

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

MOHD. Rashid Hasnon (depan, dua dari kiri) menerima bingkisan gambar khas daripada  Pengerusi Sekretariat Anak Muda Teraju Negara, Mohamad Syafiq Alamsah (depan, kanan  sekali) ketika mengadakan kunjungan khas di sini baru-baru ini.
MOHD. Rashid Hasnon (depan, dua dari kiri) menerima bingkisan gambar khas daripada
Pengerusi Sekretariat Anak Muda Teraju Negara, Mohamad Syafiq Alamsah (depan, kanan sekali) ketika mengadakan kunjungan khas di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Gelombang kebangkitan suara anak muda yang menyokong keadilan, kebenaran dan semangat setiakawan mampu memberi anjakan paradigma pada kemajuan negara, kata Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon pada Majlis Penutupan Program Malaysia: Impan Anak Muda ‘Anak Muda Mencorak Masa Depan Malaysia’ di sini baru-baru ini.

Mohd. Rashid yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Mahasiswa Pulau Pinang turut menyatakan bahawa anak muda adalah tonggak masa hadapan agama, bangsa dan tanah air.

“Suara dan impian anak muda adalah menjadi sebahagian kepedulian Kerajaan Negeri terutama golongan mahasiswa yang mempunyai buah fikiran yang masih segar dan bersemangat waja.

“Syabas kepada mahasiswa yang bangkit dan peka akan situasi semasa,” katanya ketika menerima kunjungan mahasiswa dari Sekretariat Anak Muda Teraju Negara (AMTeN) di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, golongan mahasiswa perlu menerapkan elemen PESAT iaitu Professionalism, Excellence, Self-dicipline, Active learning dan Teamwork.

“Melalui PESAT, anak-anak muda terutama golongan mahasiswa mampu menjadi insan yang cemerlang dan unggul.

“Tahniah kepada semua mahasiswa yang menjayakan Program Malaysia: Impan Anak Muda dalam membentuk suatu platform bagi anak muda untuk sama-sama membangunkan negeri dan negara mengikut corak yang diingini rakyat,” ucap Mohd. Rashid.

Dalam majlis sama, Mohd. Rashid turut menerima bingkisan gambar khas menunjukkan gerak kerja anak-anak muda AMTeN dalam menjayakan Program Malaysia: Impian Anak Muda.

Antara program yang dijalankan oleh AMTeN adalah ‘roadshow’, ‘public speaking’ dan pameran dalam usaha memungut suara anak-anak muda di Pulau Pinang. Hasilnya dirakamkan dalam video dan juga buku rekod khas diterbitkan AMTeN.