SEBERANG JAYA – Penganjuran Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang 2026 (PABF) yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 3 hingga 6 Julai depan di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) dijangka menjadi acara literasi terbesar pernah dianjurkan di negeri ini.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Norlina Ahmad berkata, penganjuran julung kali pada peringkat ASEAN itu menyasarkan kehadiran seramai 350,000 pengunjung sepanjang tempoh pameran berlangsung.

Menurut beliau, penganjuran tersebut merupakan hasil kerjasama antara PPAPP, Perpustakaan Negara Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), selain mendapat sokongan lebih 21 agensi kerajaan.
“Antara agensi yang terlibat termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), institusi pengajian awam, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan Negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kerjasama pelbagai pihak ini penting bagi memastikan kelancaran penganjuran yang kini telah mencapai kira-kira 95 peratus tahap persediaan,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.
Turut hadir, Pustakawan Kanan, Azizah Zainon.

Mengulas lanjut, Norlina berkata, antara tarikan utama yang diperkenalkan buat pertama kali ialah Penang Book Fun Run sejauh lima kilometer yang akan berlangsung pada 5 Julai bermula pukul 7.30 pagi dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta.
Selain itu, katanya, PPAPP turut bekerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia dalam menganjurkan Festival Kaligrafi ASEAN yang melibatkan kira-kira 46 reruai kaligrafi dari seluruh negara ASEAN.
“Festival ini merangkumi bengkel penulisan khat dan kaligrafi Cina, sesi sembang santai mengenai kaligrafi dalam era kecerdasan buatan (AI) serta pertandingan seni kaligrafi khat ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada 3 Julai.
“Kita juga menyasarkan penyertaan pelajar sekolah agar mereka dapat mengenali dan menghargai seni kaligrafi sebagai sebahagian warisan budaya,” katanya.
Dalam masa sama, Norlina berkata, pengunjung turut berpeluang mengikuti pelbagai Slot Bicara Buku yang menampilkan tokoh ilmuan dan ahli akademik dari negara ASEAN termasuk Thailand.
Tambah beliau, penganjuran kali ini turut melibatkan penyertaan penerbit dan pempamer dari negara jiran seperti Indonesia dan Singapura serta negara Asia lain termasuk China dan Taiwan.
Lebih istimewa lagi ialah PPAPP juga akan membawakan penulis novel terkenal dari Indonesia, Tere Liye untuk bersama-sama pengunjung pada penganjuran kali ini.
“Pengunjung juga boleh menyertai sesi pelancaran buku termasuk buku berkaitan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, yang akan dibicarakan oleh anak beliau sendiri.
“Kita turut membawakan penulis terkenal dari Malaysia seperti Ahmad Faezal, Idin Ramli dan ramai lagi,” ujarnya.


Bagi menarik minat golongan muda dan kanak-kanak, pelbagai aktiviti turut disusun termasuk pertandingan e-Sukan, pengisian rohani menerusi slot Alunan Jiwa yang menampilkan Ustaz Hariri, Ustaz Zarifi dan Ustaz Ihsan.
Tidak ketinggalan, persembahan artis popular tanah air seperti kumpulan Sofazr, Hyper Act, Shidee dan Black Hanifah turut diadakan sepanjang pesta berlangsung.
Selain itu, pelbagai pertandingan seperti mewarna, Tamiya, karom, stacking cup, teka peribahasa, teka emoji serta pameran dan jualan Hot Wheels turut disediakan.
Menurut Norlina, PPAPP turut bekerjasama dengan JPNPP dalam menganjurkan pameran STEM dan bengkel pendidikan bagi memberi manfaat kepada pelajar dan guru.
Beliau berkata, antara keistimewaan pesta buku kali ini ialah penyertaan pembekal buku yang turut terlibat dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Buku-buku terbaharu yang dilancarkan di Kuala Lumpur juga akan dibawa ke Pulau Pinang, jadi mereka yang tidak berkesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur boleh mendapatkannya di sini,” katanya.
Tambah beliau, pengunjung bakal menikmati diskaun sehingga 70 peratus, selain jualan Rahmah dengan kerjasama KPDN.
Malah, sesi cabutan bertuah turut diadakan dengan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung yang membuat pembelian minimum RM50.
Dalam pada itu, Norlina berkata, aspek keselesaan pengunjung turut diberi perhatian menerusi penyediaan lebih 3,000 petak parkir serta kemudahan jualan makanan yang dikendalikan pihak PWCC.
“Kemasukan ke pesta buku adalah percuma kecuali beberapa aktiviti tertentu yang memerlukan bayaran penyertaan.
“Harapan kami agar penganjuran Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang ini dapat menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya rakyat Pulau Pinang.
“Kita mahu setiap pengunjung yang hadir memperoleh manfaat daripada program yang disediakan serta membawa pulang pengalaman dan kenangan yang bermakna,” katanya.
Majlis perasmian Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang 2026 dijadualkan berlangsung pada 6 Julai dan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ramli Ngah Talib.
Penganjuran sulung itu juga dilihat sebagai langkah penting dalam merealisasikan aspirasi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar berteraskan ilmu dan pembangunan keluarga.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS