Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang layak diiktiraf acara pelancongan kebangsaan – Ketua Menteri

Admin

PENANTI – Ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri membanjiri Kampung Terus, bagi menyaksikan pelbagai keunikan sempena penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang yang kembali diadakan secara fizikal pada tahun ini.

Pesta yang memasuki edisi keempat itu berlangsung selama tiga hari dari 22 hingga 24 Julai 2022, dan dianjurkan bersama oleh Pejabat Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Antara keunikan yang dapat disaksikan pada penganjuran kali ini termasuk 17 arca jerami padi bersaiz besar, aktiviti menangkap ikan di tengah bendang, memanah, menunggang kuda dan kereta lembu, pameran dan pertandingan warisan padi, pertandingan boria, lawan bola dalam bendang, aktiviti riadah, sepak raga, larian Sungai Penanti serta banyak lagi.

Ketua Menteri ketika mengunjungi salah satu arca jerami pagi yang dipamerkan.

Berlandaskan keunikan-keunikan tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang layak diiktiraf sebagai acara pelancongan kebangsaan.

“Seperti yang kita dapat lihat pesta ini berjaya menarik kehadiran ribuan peminat, bukan sahaja dalam kalangan penduduk sekitarnya tetapi juga pelancong luar.

Norlela Ariffin bersama-sama ahli-ahli jawatankuasa penganjur.

“Ini menunjukkan bahawa festival yang amat dinanti-nantikan ini sememangnya mempunyai keunikan yang tersendiri dan layak dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara.

“Ia sekali gus dapat menjadikan Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang sebagai salah satu tempat budaya dan warisan yang wajib dilawati,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 di sini sebentar tadi.

Memberi pemarkahan bagi Anugerah Ketua Menteri.

Turut hadir, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San.

Pada masa sama, Kon Yeow turut mencadangkan supaya pertandingan arca jerami yang menjadi tarikan utama pada penganjuran pesta padi kali ini diangkat ke persada dunia setanding dengan pertandingan-pertandingan bertaraf antarabangsa yang lain.

“Arca Jerami Padi adalah sejenis seni menggunakan jerami padi yang biasanya tidak ada kegunaan selepas padi dituai.

Kereta lembu antara yang menjadi tarikan pada penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0.

 

“Apabila jerami padi yang tidak berharga ini boleh digunakan untuk membina arca yang cantik dan dapat menarik kunjungan pelancong, tempat ini sudah tentunya menjadi agro-pelancongan destinasi yang baru di negara ini.

“Malah, ia juga merupakan sejenis Upcycle Economy yang baru di negeri Pulau Pinang.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri yakin lokasi ini amat sesuai dijadikan sebagai pentas seni arca bagi golongan pelajar-pelajar universiti, artis-artis, arkitek landskap, pereka profesional tempatan dan negeri-negeri jiran,” ujarnya.

Justeru kata beliau, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan padu dan menyeluruh untuk melihat Pesta Padi Antarabangsa dan Pertandingan Arca Jerami Padi ini terus dikenali dan menembusi pentas antarabangsa.

Ketua Menteri bersama-sama pasukan penganjur.

“Di Pulau Pinang, kita sangat mengalu-alukan penganjuran festival sebegini bagi meraikan sejarah, budaya dan warisan para petani sawah yang penting untuk pemeliharaan identiti bangsa Malaysia serta menjadi contoh kepada generasi masa hadapan.

“Kerajaan Negeri akan terus melakukan apa yang terdaya terutama dari segi sokongan dan penyediaan peruntukan, infrastruktur asas serta awam untuk kebaikan bersama.

“Malah, kepimpinan Exco Pertanian dipastikan untuk berusaha bagi membantu bidang industri pertanian termasuk penanaman padi untuk menjamin keluaran padi yang terbaik untuk menyokong jaminan makanan untuk rakyat di negara ini,” katanya.

Melawat arca-arca jerami padi.

Sementara itu, Norlela dalam ucapannya berkata bahawa acara tahunan tersebut dianjurkan sebagai meraikan musim menuai padi dan menghargai jasa para petani yang telah membanting-tulang menghasilkan makanan ruji kepada seluruh rakyat di negara ini.

“Pada masa sama, pesta padi juga menjadi sebuah acara yang memberi kesedaran kepada golongan muda mengenai budaya dan warisan pertanian tempatan serta menyumbang kepada pendapatan negara menerusi sektor agropelancongan,” ulasnya.

Pada majlis itu juga, Kon Yeow turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan arca jerami yang menyaksikan karya milik pasukan Arcathect, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan tema ‘Life Theory’ dipilih sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi dan sijil kemenangan.

Suasana Kampung Terus.

Selain itu, Anugerah Emas pula diberikan kepada pasukan Lawa Landscape dengan tema ‘Melepaskan Keringat Rindu’ dan membawa pulang wang tunai RM10,000, manakala Anugerah Perak pula dimenangi oleh pasukan SQ Impression, bertemakan ‘Jelapang Padi Kampung Terus Penanti’ (RM,8000).

Anugerah Gangsa pula menjadi milik O Sculpture Studio dengan tema ‘Anak Sawah “Paddy B’ dan Anugerah Kreatif dimenangi oleh pasukan Malinja, FRSB, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) yang mana masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Menelusuri Sungai Terus antara aktiviti yang disediakan.

Dua anugerah khas turut diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Tema dan Anugerah Khas Exco dengan mewarkan hadiah berjumlah RM5,000 yang mana masing-masing menjadi milik Team FTV, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan tema ‘Sepetang di Sawah Padi’ dan Lakar Layang Studio melalui karya bertemakan ‘Manifestasi Ukhwah’.

Difahamkan, Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang buat pertama kalinya dianjurkan pada tahun 2018, diikuti tahun 2019 manakala edisi ketiga dilangsungkan secara maya pada tahun 2021 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING