Peta Berbasikal Pulau Pinang mudahkan penggemar sukan, pelancong

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow baru-baru ini melancarkan Peta Berbasikal Pulau Pinang bersempena ulang tahun ketiga komuniti berbasikal, Bike On Friday (BoF) pada 16 Mac lalu.

Katanya, peta tersebut diharap menjadi nilai tambah kepada penggemar sukan berbasikal dan para pelancong yang menggunakan mod pengangkutan tersebut.

“Saya berbesar hati melancarkan Peta Berbasikal Pulau Pinang yang merangkumi laluan-laluan basikal sekitar kawasan pulau, dan peta ini diharap dapat memudahkan penggemar sukan ini memilih laluan yang menarik, tempattempat tarikan pelancong dan stesen-stesen perkongsian basikal (LinkBike).

“Hasil usaha sama Kerajaan Negeri bersamasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), kita dapat lihat laluan basikal di serata tempat terutamanya di kawasan pulau sama ada laluan penuh ataupun secara perkongsian kini,” ucapnya pada majlis ringkas pelancaran Peta Berbasikal Pulau Pinang di sini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali dan Pengerusi Persatuan Basikal Bukit Pulau Pinang (PMA), Bakar Nordin. Kon Yeow dalam pada itu turut memaklumkan, melalui inisiatif LinkBike yang berusia setahun, sistem perkongsian berkaitan telah mencatatkan 30,197 pemuat naik aplikasi dari 61 negara dengan perjalanan dicatatkan adalah merangkumi 100,048 kilometer.

Bakar ketika ditanya pihak media menyatakan bahawa pendekatan Peta Berbasikal Pulau Pinang merupakan satu idea yang bijak dalam menarik peminat-peminat basikal menggunakan laluan yang disediakan di Pulau Pinang terutamanya para pelancong.