Pewartaan Hutan Simpanan Kekal demi pulihara alam, manfaat komuniti

Admin

SECARA umumnya, salah satu matlamat yang digariskan dalam Visi Penang2030 berjaya dicapai apabila Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telah mewartakan hampir 1,000 hektar Hutan Simpanan Kekal pada tahun 2022.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, PHEE BOON POH berkata bahawa pewartaan tersebut menjadikan keluasan Hutan Simpanan Kekal di negeri Pulau Pinang kini mencecah seluas 6,063.25 hektar berbanding 5,100.93 hektar pada tahun 2019.

“Pada tahun 2019, Ketua Menteri menyatakan bahawa Pulau Pinang perlu meningkatkan tembok penahan ombak serta aspek jaminan makanan demi menjayakan Visi Penang2030.

“Ini kerana, di negeri Pulau Pinang kita dapati ramai penduduknya bekerja sebagai nelayan, namun hasil laut pula dilihat semakin berkurangan ekoran peningkatan tangkapan hasil laut saban hari.

Hutan Pelajaran Air Itam dekat Sungai Dua telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 38 lokasi kawasan Hutan Paya Laut yang berada dalam tanah kerajaan dan milik agensi kerajaan untuk digazetkan sebagai Hutan Simpanan Kekal pada 15 Disember 2022,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui sempena wawancara khas baru-baru ini.

Difahamkan, seluas 285.84 hektar di sebahagian Pulau Jerejak telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal pada 26 Mac 2020 dan merupakan yang julung kali dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak Akta Perhutanan Negara 1984 diguna pakai di negeri ini.

Selain aspek keselamatan makanan, Boon Poh berkata bahawa pewartaan Hutan Simpanan Kekal juga penting sebagai tembok penahan ombak terutamanya semasa berlaku tsunami selain untuk memelihara alam semula jadi.

“Pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar merupakan satu aspek yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri sebagaimana dirangka menerusi Pelan Strategik Guna Tanah dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030).

“Langkah ini penting bagi memelihara keseimbangan pembangunan serta kepentingan jangka panjang penggunaan tanah negeri termasuk kawasan berhutan.

“Malah, manifesto Kerajaan Negeri turut diterjemahkan menerusi Visi Penang2030 untuk menambahkankeluasan Hutan Simpanan Kekal di negeri ini atas prinsip menjamin penyerapan karbon sebagai mitigasi isu perubahan iklim,” jelasnya.

Boon Poh menegaskan bahawa pewartaan Hutan Simpanan Kekal juga menyebabkan sebarang pembangunan di kawasan yang telah digazetkan menjadi lebih ketat termasuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penebangan pokok.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga mahu pewartaan ini turut memberi manfaat kepada penduduk tempatan kerana mereka boleh menuai hasil yang ada di kawasan Hutan Simpanan Kekal seperti madu, ketam nipah, siput sedut dan banyak lagi.

“Malah, kawasan ini juga turut menjadi habitat untuk burung hijrah sepertimana yang kita dapat lihat di kawasan Teluk Air Tawar,” ulasnya lanjut.

Hutan Paya Laut

Boon Poh berkata, bagi meneruskan komitmen ke atas pewartaan Hutan Simpanan Kekal di negeri ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Alam Sekitar juga menyusun strategi untuk mewartakan semua kawasan Hutan Paya Laut dalam tanah kerajaan dan tanah milik agensi negeri.

“Hutan Paya Laut merupakan kawasan sensitif yang perlu dipelihara kerana selain berfungsi sebagai benteng hakisan ombak dan nurseri kepada hidupan laut, ia juga mempunyai keupayaan tinggi sebagai penyimpan karbon berbanding jenis hutan pamah lain.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri yang bersidang pada 5 Disember tahun lepas telah meluluskan seluas 676.48 hektar merangkumi lapan kawasan Hutan Paya Laut untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan telah diwarta menerusi Siar Warta bernombor 1291 bertarikh 15 Disember tahun 2022.

Hutan Paya Laut Teluk Air Tawar antara kawasan yang telah diwarta sebagai Hutan Simpanan Kekal.

“Jumlah kawasan Hutan Paya Laut yang telah diwarta ini hanya sebahagian daripada 38 lokasi kawasan seluas 1,619.22 hektar (keluasan digital) yang dikenal pasti sesuai diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

“Ini menjadikan jumlah kawasan Hutan Paya Laut Negeri Pulau Pinang yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) ketika ini adalah seluas 1,057.52 hektar atau peningkatan sebanyak 63.9 peratus.

 

“Hutan Paya Laut yang diwartakan turut meliputi kawasan di sepanjang pesisir Penaga seluas 326.49 hektar yang menjadi tumpuan kepada persinggahan burung-burung hijrah,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Boon Poh memberitahu bahawa masih terdapat dua kawasan Hutan Paya Laut yang hendak diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal namun masih berdepan masalah teknikal iaitu di Pasir Gebu (Penaga) dan Batu Maung.

“Di Pasir Gebu, kawasan yang dikenal pasti adalah seluas kira-kira 350 ekar yang kini menjadi zon industri akuakultur manakala di Batu Maung pula seluas kira-kira 400 ekar.

“Kedua-dua kawasan ini masih dalam perbincangan untuk diwartakan dan kini berada dalam proses libat urus bersama penduduk setempa

“Langkah seterusnya ialah MMK Alam Sekitar akan meneruskan kerja-kerja perincian bagi kawasan Hutan Paya Laut yang selebihnya untuk diwartakan secara berperingkat,” katanya.

Burung hijrah yang terdapat di Hutan Paya Laut Teluk Air Tawar.

Walau bagaimanapun, Boon Poh optimis bahawa proses pewartaan Hutan Paya Laut di Pasir Gebu dekat Penaga lebih mudah kerana kawasan tersebut berada dalam tanah Kerajaan Negeri yang dimiliki oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

“Namun begitu, keadaan berbeza dengan Batu Maung kerana ia melibatkan tanah Kerajaan Negeri yang telah diserahkan kepada agensi Kerajaan Persekutuan yang kini di bawah seliaan Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang.

“Kawasan Batu Maung merupakan satu-satunya hutan paya bakau di dalam bandar dan kawasan ini sangat penting dan boleh dianggap sebagai ‘paru-paru’ bandar kerana kepesatan pembangunannya,” ulasnya.

Proses pewartaan

Boon Poh berkata bahawa usaha untuk mewartakan Hutan Simpanan Kekal perlu melalui beberapa proses dan mengambil masa yang agak panjang kerana membabitkan banyak pihak.

Tambah beliau, perincian secara berperingkat juga perlu dijalankan dengan berhati-hati agar tidak berlaku pertindihan kawasan terutamanya bagi kawasan melibatkan sempadan yang tidak jelas sekali gus menjejaskan fungsi guna tanah serta perancangan pembangunan semasa.

“Proses pertama ialah mengenal pasti kawasan yang hendak diwartakan, kemudian kita perlu melakukan kajian sebelum membentangkan (hasil kajian) kepada Pejabat Daerah.

“Langkah seterusnya adalah Kerajaan Negeri perlu menubuhkan jawatankuasa untuk membincangkan isu ini.

“Ini kerana apabila kita bercakap soal hutan paya bakau, ia akan melibatkan banyak pihak seperti nelayan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Perhutanan Negeri dan lain-lain lagi.

“Apabila kita mendapati semua pihak bersetuju dengan cadangan pewartaan ini, barulah kita adakan sesi libat urus bersama-sama penduduk setempat untuk mendengar pandangan dan idea mereka.

“Selepas semuanya selesai, Kerajaan Negeri perlu menghantar laporan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mendapatkan maklum balas dan kemudiannya perlu diluluskan pada peringkat MMK Alam Sekitar untuk tujuan pewartaan,” ujarnya.

Bantu tingkatkan sektor pelancongan

Menurut Boon Poh, pewartaan Hutan Simpanan Kekal juga berkait secara langsung dengan sektor pelancongan kerana kawasan tersebut boleh ditransformasikan kepada kawasan ekopelancongan.

Tambah beliau, pelbagai cara boleh dilaksanakan untuk menjadikan kawasan Hutan Paya Laut sebagai kawasan ekopelancongan tanpa menjejaskan fungsinya sebagai Hutan Simpanan Kekal.

Khazanah alam yang terdapat di Hutan Simpanan Kekal Bukit Mertajam sentiasa menjadi tumpuan pelancong.

“Namun begitu, kita perlu pastikan bahawa sebarang pembangunan tidak boleh dilakukan di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal, sebaliknya hanya boleh dilakukan di kawasan sekitarnya sahaja.

“Bagi saya, apa yang lebih penting adalah membina kemudahan yang lebih baik di kawasan sekitar seperti jalan raya, petunjuk arah, tempat letak kereta, kompleks makanan dan sebagainya.

“Selain itu, kita juga perlu memastikan pembangunan memberi manfaat yang maksimum kepada penduduk setempat termasuk memberi peluang kepada mereka menjalankan perniagaan seperti memberikan lesen pengendali bot pelancongan.

“Dengan ini, mereka boleh membawa pelancong ke Teluk Air Tawar dari Bagan Belat untuk melihat aktiviti nelayan, melihat burung hijrah, menikmatikeindahan hutan paya bakau yang kini menjadi kawasan penternakan kerang melalui pakej yang disediakan.

“Pakej yang disediakan ini boleh merangkumi hotel penginapan, pengangkutan, perkhidmatan bot pelancongan, makanan dan sebagainya,” jelasnya.

Justeru kata Boon Poh, inisiatif tersebut diharap dapat memberi manfaat terutamanya untuk meningkatkan pendapatan penduduk setempat selain kebergantungan mereka kepada pendapatan sebagai nelayan.

“Kerajaan Negeri sememangnya mempunyai perancangan untuk membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar terutamanya orang Melayu seperti di Penaga dan ini merupakan salah satu daripadanya,” katanya mengakhiri bicara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS