Pg Care siap siaga hadapi kenaikan kes COVID-19, kebajikan agenda utama

Admin

GEORGE TOWN – Berikutan trend kes COVID-19 yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini terus meningkat, Penang Care Society (dahulu dikenali PgCare Alliance) kini bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengaktifkan semua 28 rakan kolaborasi yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan para pemain industri.

 

Pengasas Bersama Penang Care Society (Pg Care), Dr. Ngoo Seong Boon ketika ditemui berkata, pihaknya akan terus cakna dan memberi sokongan serta bantuan kepada mereka yang memerlukan susulan situasi semasa.

 

“Semua rakan kolaborasi kini berhubung menggunakan platform digital bersepadu bagi membolehkan individu atau mereka yang memerlukan bantuan mahupun sokongan berinteraksi secara terus dengan NGO atau pihak berkaitan.

 

“Sama seperti sebelum ini, Pg Care juga sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membantu kelompok sasaran dalam pelbagai bentuk keperluan melalui capaian platform digital,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

 

Menurut Seong Boon, antara impak ketara hasil kolaborasi di bawah Pg Care semasa pandemik menular tahun lalu adalah kewujudan talian hotline.

 

Sehingga kini, pihak kami telah menerima kira-kira 5,000 panggilan yang mana memberi impak paling ketara terhadap penubuhan Pg Care.

 

“Malah, kami menjangkakan pertambahan panggilan (ke talian hotline) dengan meningkatnya kes COVID-19 sekarang ini,” katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankusa Protem Pg Care.

 

Ditanya mengenai prospek masa hadapan, Seong Boon memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai perancangan untuk ‘melebarkan sayap’ dengan menghulurkan sokongan dan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam, khasnya di Pulau Pinang.

 

Melangkaui COVID-19, pastinya kami akan teruskan usaha murni ini berdasarkan teras-teras yang ada secara bersaksama terutama dalam membantu mereka yang terjejas.

 

“(Dan) juga mereka yang terkesan secara langsung akibat bencana alam, itu perancangan masa depan Pg Care iaitu untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang terus menjadi agenda utama,” jelasnya.

 

Terdahulu, Seong Boon hadir bersama-sama Ahli Jawatankuasa Protem, Cefinny Teh Jin Pei dan Patricia Chung Wei Leng ke pejabat Buletin Mutiara di Komtar. Ini merupakan kunjungan pertama Pg Care  setelah dilancarkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Ogos 2021.

 

Pg Care merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan platform sokongan serta bantuan berbentuk keperluan harian, makanan, sewaan peralatan perubatan dan khidmat kaunseling serta kesihatan mental kepada rakyat Pulau Pinang yang terkesan akibat COVID-19.

 

Sila hubungi talian hotline di 04-642 7777 atau 04-291 0123 atau layari pgcarealliance.com untuk maklumat lanjut.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD