Pg Care teruskan tradisi tahunan kunjungi pejabat media

whatsapp image 2024 02 20 at 09.29.06

GEORGE TOWN – Bahang sambutan Tahun Baharu Cina 2024 masih dirasai sehingga ke hari ini dan mengambil kesempatan itu, Penang Care Society (Pg Care) meneruskan tradisi berkunjung ke pejabat media terpilih di Pulau Pinang termasuk ke Buletin Mutiara di Komtar pagi ini.

 

Pengerusi Pg Care, Ir. Dr. Ngoo Seong Boon ketika ditemui berkata, pihaknya akan meneruskan tradisi tahunan dengan mengunjungi pejabat media terpilih sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

 

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, Pg Care mengambil kesempatan untuk mengunjungi pejabat media di Pulau Pinang sebagai penghargaan dan juga dapat eratkan kerjasama dengan media,” ujarnya.

 

Mengulas mengenai perancangan tahun 2024, Seong Boon memaklumkan bahawa pihaknya akan meneruskan Kursus Kesihatan Mental dan Pertolongan Cemas (MHFA) membabitkan syarikat-syarikat swasta dan awam di negeri ini.

 

Selain itu, jelasnya lagi, pihaknya juga sedang dalam rangka membangunkan alat jejak yang dilengkapi dengan sistem navigasi global (GPS) untuk pesakit demensia.

 

“Kedua-dua (Kursus MHFA dan alat jejak) ini akan menjadi fokus utama Pg Care untuk tahun 2024 ini,” katanya.

 

Mengiringi Seong Boon ialah Bendahari Pg Care, Keng Soo Peng; serta barisan ahli jawatankuasa, antaranya, Felix Chuah Gim Chuan; Ng Jui Boon; James Mohan dan Lucia Teoh Hoay Sim.

 

Terdahulu, Seong Boon memaklumkan bahawa pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen bagi membincangkan beberapa isu berkaitan hala tuju dan pembangunan kesihatan mental yang menjadi teras utama wujudnya Pg Care sejak pandemik COVID-19.

 

Gambar : Noor Siti Nabilah Noorazis