PgCare Alliance, kolaborasi baharu bantu golongan terjejas pandemik

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama badan-badan bukan kerajaan (NGO), para pemain industri utama serta golongan profesional di negeri ini berkolaborasi membentuk PgCare Alliance atau Gabungan PgCare bertujuan memberi sokongan dan bantuan kepada masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pandemik COVID-19 yang berlanjutan selama hampir dua tahun telah memberi kesan kepada semua.

 

Walaupun negeri kita telah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kita masih berusaha untuk bangkit semula sama ada dalam aspek ekonomi mahupun sosial.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjalinkan kolaborasi dengan pelbagai NGO di negeri ini untuk membentuk suatu gabungan bagi mengukuhkan dan mempercepatkan penyaluran bantuan kepada rakyat sepanjang tempoh pandemik ini,” ucapnya pada Majlis Pelancaran PgCare Alliance di sini pada 11 Ogos 2021.

 

KETUA Menteri menurunkan tandatangan di plakad pada Majlis Pelancaran PgCare Alliance di sini pada 11 Ogos 2021.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga merupakan Pengerusi PgCare Alliance; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap Timbalan Pengerusi PgCare Alliance, Yeoh Soon Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, The Lai Heng merangkap Timbalan Pengerusi PgCare Alliance.

 

Turut serta, barisan ahli jawatankuasa PgCare Alliance iaitu Cefinny Teh Jin Pei; Dato’ Seri Dr. Ooi Eng Hock; Dato’ Seri Leslie Lee Kim Guan; Dato’ Jimmy Ong Chin Keng; Dato’ Seri Wong Siew Hai; Felix Chuah Gin Chuan; Dr. Ngoo Seong Boon dan Chong Soon Kheng.

 

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Penasihat PgCare Alliance memaklumkan bahawa selaras dengan Visi Penang2030 iaitu menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, gabungan tersebut bakal berfungsi berlandaskan empat teras utama.

 

Teras pertama adalah kesihatan mental; seterusnya pekerjaan; makanan dan perlindungan serta kewangan.

 

“Setiap teras ini saling berkait antara satu sama lain, misalnya kebanyakan isu berkaitan kesihatan mental dan tekanan adalah berpunca daripada pekerjaan atau kedudukan kewangan semasa tempoh sukar ini,” jelasnya.

 

Difahamkan, gabungan berkaitan juga menyediakan platform yang neutral, inklusif serta bersaksama kepada semua terutama mereka yang terkesan dan memerlukan bantuan akibat krisis kesihatan luar biasa ini.

 

Menurut Kon Yeow, sehingga hari ini, terdapat 18 NGO yang bergabung di bawah PgCare Alliance yang mana suatu platform digital bersepadu akan diwujudkan kelak.

 

Platform digital ini akan diwujudkan di setiap Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dan NGO berkaitan untuk berinteraksi secara terus dengan kelompok sasar di peringkat akar umbi.

 

“(Melalui interaksi ini), golongan terkesan akan dibantu sewajarnya (sama ada bantuan makanan dan perlindungan; bantuan pekerjaan; sokongan kesihatan mental dan kewangan),” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa utama yang memulakan inisiatif terbaharu ini serta menyelaras semua gerak kerja.

 

Perincian lanjut, layari laman web www.PgCareAlliance.com atau melalui Facebook, pgcarealliance.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN