PgCare Alliance tawar teh herba TCM

Admin

GEORGE TOWN – Gabungan PgCare atau PgCare Alliance yang ditubuhkan bagi memberi sokongan dan bantuan kepada kelompok masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19, mengorak langkah setapak lagi melalui kerjasama dengan pengamal perubatan tradisional dan komplementari Cina (TCM).

 

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata, perubatan tradisional Cina seperti teh herba bukanlah rawatan alternatif COVID-19, sebaliknya bertujuan meningkatkan imunisasi tubuh manusia.  

 

 

“Pada peringkat sekarang, kita masih perlu berwaspada, dengan angka kes COVID-19 hari ini saya belum yakin bahawa kita semua adalah selamat daripada ancaman.

 

 

“(Dan) hari ini, Kerajaan Negeri melalui PgCare Alliance mendapat sokongan daripada Traditional Medical Hall yang mana TCM bakal menjadi cabang baharu dalam perkhidmatan,” ujarnya pada satu sidang media di Komtar pada 10 November 2021.

 

 

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin selaku Timbalan Pengerusi PgCare Alliance; Ahli Jawatankuasa Utama PgCare Alliance, Dr. Ngoo Seong Boon dan Chong Soon Kheng.

 

 

Mengulas lanjut, Boon Poh yang juga Pengerusi PgCare Alliance memaklumkan bahawa orang ramai boleh mendapatkan teh herba tersebut dengan melayari laman sesawang PgCare Alliance di https://www.pgcarealliance.com/.

 

 

“Melalui laman sesawang tersebut, individu akan dihubungi untuk mendapatkan teh herba tersebut melalui 30 cawangan yang terdapat di bahagian pulau dan Seberang Perai,” katanya.

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN