PgCare Society, Digital Penang lakar sejarah meterai perjanjian persefahaman

GEORGE TOWNPenang Care Society (dahulu dikenali PgCare Alliance) dan Digital Penang Sdn. Bhd. (Digital Penang) melakar sejarah apabila julung kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 30 Disember 2021.

 

Perjanjian dimeterai antara Pengasas Bersama Penang Care Society (PCS), Chong Soon Kheng dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Yeoh Choon Hock di hadapan Pengerusi PCS, Phee Boon Poh.

 

Turut sama hadir, Timbalan Pengerusi PCS, Yeoh Soon Hin merangkap Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif dan Teh Lai Heng selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar serta jawatankuasa utama PCS.

 

Digital Penang merupakan syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menawarkan platform bagi membolehkan rakan kerjasama membuat kutipan dana daripada sumber awam secara dalam talian.

 

Kerjasama ini sekali gus membolehkan PCS mengadakan kempen amal dan publisiti bagi mencapai sasaran dalam pengumpulan dana dan sumbangan secara dalam talian.

 

Menurut Choon Hock, platform yang akan dibangunkan nanti adalah selamat dan membolehkan sama ada organisasi mahupun komuniti mengumpul dana dan sumbangan bagi tujuan kemanusiaan.

 

Kami (Digital Penang) menghubungkan rakan kerjasama yang berdaftar dengan orang awam secara telus dan selamat.

 

“(Dan) kami juga menyokong usaha murni rakan kerjasama kami dalam membantu mereka yang memerlukan terutamanya di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui usai majlis pemeteraian tersebut dekat sini.

 

PCS merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan platform sokongan serta bantuan berbentuk keperluan harian, makanan, peralatan perubatan dan kesihatan mental kepada rakyat Pulau Pinang yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN