PH dapat bilangan kerusi terbanyak, patut diberi peluang bentuk Kerajaan Pusat – Kon Yeow

PARA penyokong tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Ketua Menteri semasa jerayawara Ahli Parlimen Batu Kawan berkenaan di Pasar Awam Taman Chai Leng, Perai pada awal pagi tadi (20 November 2022).

PERAI – Pakatan Harapan (PH) patut diberi ruang untuk membentuk gabungan politik demi menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang baharu dan stabil, dengan jumlah kerusi terbanyak dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu 82 kerusi Parlimen.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan yang baharu berkata demikian kepada pemberita semasa jerayawara di Pasar Awam Taman Chai Leng, Perai pada awal pagi tadi (20 November 2022).

“Pakatan (Harapan) yang mendapat jumlah kerusi parlimen paling banyak, saya berharap Pakatan Harapan diberi peluang untuk membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baharu,” jelasnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshell merupakan antara pemimpin negeri yang menyertai jerayawara tersebut.

Sebelum pada itu, kira-kira 7.00 pagi Kon Yeow turut mengadakan jerayawara di Pasar Awam Perkampungan Juru dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah.

Semalam, Ketua Pusat Mengundi PRU15 P046 dilaporkan mengumumkan Kon Yeow dalam saingan lima penjuru sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Batu Kawan dengan 40,400 majoriti undi.