PH perlu menang lebih banyak kerusi untuk tawan kembali Putrajaya

Admin

BUKIT TENGAH – Pakatan Harapan (PH) perlu memenangi lebih banyak kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang kukuh dan stabil.

Calon bagi Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow berkata bahawa kemenangan besar PH pada PRU15 adalah penting dalam usaha untuk membangunkan semula negara yang kini berada dalam keadaan lemah akibat kepimpinan yang tidak amanah.

“Kali ini, kita (PH) dipimpin oleh barisan kepimpinan baru dan menawarkan tokoh berwibawa iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Beliau mempunyai pengalaman sangat luas dalam politik dan pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Timbalan Perdana Menteri dan pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik.

“(Dan) untuk menjadikan perkara ini realiti, rakyat khususnya penduduk Batu Kawan perlu memberikan sokongan kepada PH bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya,” katanya pada sesi dialog bersama-sama wanita Bukit Minyak dekat Dewan Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung serta barisan jentera Pakatan Harapan.

Pada masa sama, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menzahirkan penghargaan kepada pengundi di Batu Kawan atas sokongan yang diberikan kepada PH sejak tiga penggal lalu.

“PH bukan hanya menang di Parlimen (Batu Kawan) tetapi kita juga menang di semua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana rakyat hargai peranan kita untuk membawa perubahan dalam urus tadbir Kerajaan Negeri.

“Disebabkan kita mendapat sokongan baik daripada rakyat, maka kita dapat membentuk Kerajaan Negeri yang kukuh sehingga sukar untuk diganggu-gugat,” ulasnya.

Seusai program tersebut, Kon Yeow dan pasukan meneruskan kempen dengan menyertai acara jerayawara di sekitar premis perniagaan Jalan Bukit Minyak di sini.

Salah seorang pekerja pusat membeli-belah yang ditemui Buletin Mutiara berkata bahawa beliau sangat berpuas hati dengan tadbir urus Cekap, Akauntabel dan Telus di bawah Kerajaan Negeri era Pakatan Rakyat sejak tahun 2008.

“Saya berharap PH kembali mendapat mandat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada PRU15, seterusnya melaksanakan program penyuraian trafik sesak di sekitar kawasan komersial Bukit Minyak ini,” ujarnya.