PH Pulau Pinang belum bincang pembahagian kerusi, calon – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Pembahagian kerusi dan calon yang bakal bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang masih belum dibincangkan.

 

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, buat masa ini, semua pimpinan dalam kalangan parti gabungan telah menerima surat untuk memulakan perbincangan dan mengemukakan cadangan calon.

 

Jadi belum ada sebarang perbincangan lagi pada peringkat pimpinan negeri PH, masih dalam proses.

 

“Lagipun, Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada perubahan dari segi pimpinan parti dan kita perlu tunggu pimpinan baru untuk meneruskan perbincangan nanti,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan pemberita pada sidang media dekat Komtar di sini pada 24 Ogos 2022.

 

Mengulas lanjut, Pengerusi DAP Pulau Pinang itu turut memberitahu bahawa sekiranya timbul sebarang pertikaian kelak untuk memuktamadkan pembahagian kerusi dan nama calon, maka pimpinan PH negeri akan merujuk kepada pimpinan PH pada peringkat nasional.

 

“Seandainya pimpinan (PH) peringkat negeri tidak dapat selesaikan (pembahagian kerusi dan nama calon yang bertanding) barulah akan dirujuk ke peringkat nasional untuk membuat keputusan,” katanya yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP.

 

Dalam sidang media sama, ditanya mengenai komposisi calon wanita dalam sesi temu bual calon baharu DAP baru-baru ini, Kon Yeow berkata bahawa beliau agak terkilan dan kesal apabila sasaran 30 peratus penyertaan golongan wanita pada peringkat pembuat dasar masih belum dicapai.

 

“Senarai calon (wanita) yang diterima selalunya masih kurang daripada sasaran 30 peratus walaupun kita selalu memberi galakan (kepada wanita untuk melibatkan dalam peringkat pembuat dasar),” jelasnya.