PH Pulau Pinang kekal Exco BN, sasar tambah kerusi menjelang PRN

Admin
a7d3a2a5 3313 48d7 83d9 cdd1ae3ad0e0

GEORGE TOWN – Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang berlangsung pada petang ini mencapai kesepakatan untuk mengekalkan satu-satunya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sebagaimana kesefahaman kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, tahun 2023.

Pengerusinya, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata bahawa keputusan itu adalah bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai benteng kukuh PH, simbol keyakinan rakyat dan kubu yang mesti terus diperkukuh.

“Di Pulau Pinang, kita perlu mencetuskan gelombang baharu yang mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PH di seluruh negara,” jelasnya di Wisma Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang dekat Jalan Rangoon di sini pada 8 Ogos 2026.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri; Pengerusi DAP Negeri, Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil antara belasan pemimpin negeri yang menyertai mesyuarat penting tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Mesyuarat PH negeri yang berlangsung pada hari ini menjadi titik tolak kepada gerakan yang lebih agresif, lebih tersusun dan lebih berdisiplin.

“Kita bukan sekadar mahu mempertahan apa yang kita masih ada, tetapi memperluas sokongan rakyat dan membina momentum kemenangan menjelang pilihan raya kelak,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Difahamkan, Mesyuarat PH Negeri yang diadakan pada hari ini adalah susulan perubahan landskap politik yang terjadi di Negeri Sembilan dan Johor pasca-Pilihan Raya Negeri lepas.

Ditanya lanjut selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa PH negeri mengekalkan kerjasama politik dengan BN sehingga habis penggal pentadbiran PRU15 memandangkan di peringkat Persekutuan telah ada pendirian rasmi daripada Presiden BN dan Pengerusi PH untuk mengekalkan kerjasama sehingga habis penggal PRU15.

“Itulah pendirian rasmi daripada Pakatan Harapan dan UMNO, (maka) di peringkat negeri tak ada apa-apa kenyataan yang bertentang dengan pendirian ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata bahawa PH pada pilihan negeri akan datang bukan sahaja akan mempertahan mandat sebagai Kerajaan Negeri, malah turut akan menambah bilangan kerusi ADUN.

Kon Yeow memberi respons sedemikian sebagai mengulas analisis politik daripada dua ahli akademik baru-baru ini yang mengatakan bahawa PH berisiko kehilangan dua kerusi yang mempunyai majoriti Melayu.

Dr. Wong Chin Huat dilaporkan menamakan Bayan Lepas dan Batu Maung sebagai antara kerusi yang berpotensi dirampas oleh gabungan BN-PN. Pengundi Melayu membentuk 63.6 peratus daripada keseluruhan pengundi di Bayan Lepas dan 53.1 peratus di Batu Maung.

Sementara Dr. Azmil Tayeb pula dilaporkan PH tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pencapaian ekonomi untuk memenangi hati pengundi di Pulau Pinang.

Kon Yeow menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab PH negeri untuk mempertahankan kemenangan di Bayan Lepas yang kini disandang oleh Timbalan Speaker DUN, Dato’ Azrul Mahathir Aziz (Amanah) dan Mohamad (PKR) di Batu Maung.

“Itu tanggungjawab Pakatan Harapan negeri untuk mengekalkan dan menambahkan kerusi,” tegas beliau.