PH Pulau Pinang rujuk hasil mesyuarat kepada pucuk pimpinan parti komponen – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan membentangkan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat yang diadakan hari ini kepada pucuk pimpinan parti komponen masing-masing.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat PH Pulau Pinang dekat Wisma DAP di sini pagi tadi.

Parti-parti komponen Pakatan Harapan Pulau Pinang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Majlis pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang telah bermesyuarat dan mencapai kata putus untuk merujuk isu sama ada Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan secara serentak dengan pilihan raya umum.

“Keputusan yang dicapai hari ini adalah merujuk kepada keputusan semalam (Isnin) iaitu setiap parti akan merujuk kepada pimpinan pusat masing-masing untuk arahan dan tindakan seterusnya,” katanya.

Kon Yeow berkata, DAP akan mengadakan mesyuarat Jawatan Tertinggi Pusat (CEC) pada malam ini dan disusuli dengan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dijangka pada hari Rabu.

“Saya percaya parti Amanah dan PKR juga akan ada mesyuarat di peringkat pimpinan masing-masing,” ulasnya lanjut.

Semalam, Kon Yeow berkata bahawa keputusan sama ada DUN Pulau Pinang akan dibubarkan atau sebaliknya ekoran pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, dijangka akan dapat diketahui dalam minggu ini.

Menurut beliau, Pakatan Harapan Pulau Pinang telah menilai keadaan semasa serta mengambil keputusan untuk merujuk kepada CEC DAP yang akan bermesyuarat pada malam ini.