PH Pulau Pinang tiada rancangan adakan MoU bersama pembangkang – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang kini berada dalam keadaan stabil dan mendapat sokongan padu daripada rakyat terbanyak.

Oleh itu, kata beliau, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang cadangan untuk memeterai apa-apa perjanjian persefahaman (MoU) bersama dengan pihak pembangkang negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan permuafakatan politik.

“Beberapa agenda pembaharuan yang dibangkitkan dalam Mou (Persekutuan) telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Ini dapat dapat dilihat daripada Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 yang menyekat seseorang wakil rakyat daripada melompat parti politik.

“Malah, Dewan Undangan Negeri (DUN) juga telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja,” tegasnya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sentiasa peka terhadap aspirasi rakyat dan sering mendahului dalam membawa pembaharuan demi menjamin hak rakyat.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga memutuskan untuk mengekalkan peruntukan yang sedia ada kepada ADUN-ADUN pembangkang di negeri ini.

“Ini kerana, daripada maklumat yang Kerajaan Negeri terima, pihak Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang di Pulau Pinang berjumlah RM300,000 dan RM400,000.

“Jadi setelah meneliti perkara ini, keperluan itu sudah pun diisi kerana kerana Kerajaan Persekutuan ‘bermurah hati’ memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang (Pulau Pinang) yang mana ia tidak diterima oleh ADUN-ADUN daripada parti gabungan kerajaan (negeri),” jelasnya.

Terdahulu, Afif meminta Kerajaan Negeri mempertimbangkan peruntukan yang sama kepada ADUN kerajaan dan pembangkang di negeri ini sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) di peringkat Persekutuan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN