PHI memperkasa industri melalui kemahiran untuk pensijilan Halal

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berharap Putrajaya akan permudahkan proses rantaian pensijilan halal di negeri ini berdasarkan garis panduan sedia ada, selari dengan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) industri dan sektor perniagaan pasca COVID-19.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, pihaknya telah menyedari penularan pandemik COVID-19 sejak bulan Disember tahun lalu apabila ia mula menjejaskan hampir semua sektor termasuk industri halal negeri.

Namun, beliau yang juga Pengerusi Penang Halal International (PHI), yakin bahawa industri halal negeri kian kembali pulih kerana mempunyai jumlah pengguna yang besar, baik dalam kalangan umat Islam mahupun bukan Islam di negara ini.

“Sebelum berlaku pandemik COVID-19 yang di luar jangkaan kita semua, pada Mac 2018, eksport produk halal negara dilaporkan pernah diunjurkan meningkat lima peratus daripada RM43.3 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (2017).

“Waktu itu, menurut Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), ada permintaan yang begitu tinggi termasuk dari negara-negara bukan Islam seperti Singapura dan (Republik Rakyat) China.

“Walaupun ekonomi global belum beroperasi pada kapasiti sepatutnya, kita (Kerajaan Negeri) yakin permintaan domestik pada produk-produk halal akan kian meningkat kerana keyakinan pengguna baik beragama Islam mahupun bukan Islam pada kualiti produk yang mempunyai pensijilan halal di tanah air ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung ketika merasmikan Kursus Latihan Intensif Halal pada 13 Ogos lepas di The Wembley – A St. Giles Hotel di sini.

Menurut sumber HDC, ekonomi berkaitan industri halal negara menyumbang 7.5 peratus kepada KDNK bagi tahun 2017 dan diunjurkan terus menyumbang kira-kira 8.7 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020 jika dunia serta tanah air ini tidak berdepan pandemik COVID-19.

Justeru, menurut Abdul Halim lagi, PHI ketika ini terus mengorak langkah dengan menjadi penyedia latihan yang berdaftar di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad Malaysia (HRDF) demi memenuhi keperluan pensijilan halal oleh pelbagai pihak industri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Aida Lim Abdullah pula ketika berucap memberitahu bahawa bengkel selama tiga hari tersebut disertai oleh 24 peserta yang terdiri daripada chef hotel, pegawai jaminan kualiti, pemilik syarikat serta para pengendali pensijilan halal.

“PHI telah merangka beberapa modul kursus dan latihan berkaitan pensijilan halal dan keusahawanan serta bekerjasama rapat dengan Bahagian Pengurusan Halal Pulau Pinang.

“Antara kursus yang ditawarkan oleh PHI kepada pihak industri ialah Kursus Latihan Intensif Halal, Kursus Asas Pensijilan Halal, Kursus Keusahawanan dan beberapa siri kursus lain.

“PHI juga membuka ruang seluas-luasnya kepada pihak industri untuk terus berhubung dengan pihak kami sekiranya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang pensijilan halal dan pembangunan industri halal,” jelasnya lagi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Faizal Ibrahim turut sertai acara perasmian bengkel tersebut.

Hubungi talian 04-262 5444 atau emel [email protected] untuk pertanyaan lanjut mengenai operasi pensijilan halal kendalian agensi negeri, PHI.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : PHI