PIA terima lebih 1.3 juta penumpang dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini

GEORGE TOWN – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mencatatkan seramai 1,310,465 jumlah penumpang bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, bagi tempoh tersebut (Januari hingga Februari), penumpang antarabangsa mencatatkan sejumlah 597,300 penumpang dan domestik (713,165).

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan penumpang domestik dan antarabangsa yang menggunakan PIA sepanjang tahun 2018 dan dua bulan pertama tahun ini adalah seramai 9,100,888 orang.

“Justeru, pihak Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kini dalam perancangan bagi menaik taraf dan membesarkan PIA untuk memberikan keselesaan serta menangani isu kesesakan di terminal.

“PIA buat masa ini hanya berkapasiti 6.5 juta penumpang setahun, dan cadangan penaiktarafan tersebut mampu menampung keperluan sehingga 12 juta penumpang setahun,” jelasnya sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik semasa sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf PIA kini adalah pada peringkat pelantikan dua syarikat perunding oleh MAHB pada 15 Februari lalu melalui tender terbuka.

“Projek menaik taraf dan pembesaran PIA pula dijadualkan bermula pada Jun 2020 dan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan,” ujarnya.

Difahamkan, pada tahun 2018, PIA mencatatkan jumlah penumpang antarabangsa dan domestik seramai 7,790,423 orang yang telahpun melebihi jumlah kapasiti setahun.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING