Piala Demokrasi lambang penyatupaduan semua kaum atas semangat demokrasi – Zairil

Admin

PULAU TIKUS – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari membayangkan untuk menggunakan format liga bagi penganjuran Pertandingan Bola Sepak Piala Demokrasi tahun depan berbanding kalah mati kini.

Katanya, perkara tersebut adalah wajar dipertimbangkan ekoran permintaan untuk menyertai pertandingan tersebut adalah menggalakkan.

“Kali pertama dianjurkan pada tahun 2014, kita cuma ada 24 pasukan, tahun lepas dan 2017 kita dapat penyertaan dari 32 pasukan. Bahkan sehingga tarikh tutup untuk tahun ini masih ada pasukan yang mohon untuk masuk bertanding.

“Jadi, mungkin tahun depan kita boleh gunakan format liga juga untuk tambah penyertaan pasukan.

“Bagaimanapun, perkara tersebut akan diteliti semula,” katanya pada perlawanan akhir Piala Demokrasi dekat Padang Polo, Jalan Sepoy Lines di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit dan Syerleena Abdul Rashid.

Ditanya berkenaan pertukaran lokasi pertandingan ke stadium, beliau menyatakan perkara tersebut tidak perlu.

“Piala Demokrasi ini adalah anjuran Pusat Khidmat Parlimen Bukit Bendera dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pantai Molek, jadi biarlah ianya kekal di Parlimen Bukit Bendera sahaja,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu, Piala Demokrasi 2017 masih mengekalkan tema sama iaitu ‘Kad Merah Menentang Perkauman’ sebagai lambang penyatupaduan semua kaum di Malaysia atas semangat demokrasi.

Pada pertandingan yang berlangsung, pasukan Arena FC menundukkan Suria Muda FC menerusi penentuan sepakan penalti (4-3) setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit.

Pasukan Arena FC dinobatkan sebagai juara Piala Demokrasi 2017, manakala Suria Muda FC, kedua. Tempat ketiga dimenangi oleh IRC A dan Anjuman FC (tempat keempat).

Johan membawa pulang RM3,000, tempat kedua (RM2,000) dan ketiga (RM1,500). Penjaring terbanyak, Azmin Osman dari Suria Muda FC membawa pulang hadiah wang tunai RM100.