Pihak berwajib siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

Admin
cc3062ed 350c 4cf7 885e a20c43033861

GEORGE TOWN – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan Pulau Pinang akan memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) bermula 13 November sehingga Mac 2026.

Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata MTL boleh menyebabkan hujan lebat selama beberapa hari dan mengakibatkan banjir di kawasan rendah serta berhampiran dengan sungai.

“Tiupan angin timur laut secara berterusan akan mengakibatkan laut bergelora dan risikon kenaikan paras laut,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

img 5610

Susulan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long menyatakan bahawa Pulau Pinang sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman bencana, sama ada yang bersifat semula jadi seperti banjir dan tanah runtuh atau bencana yang disebabkan oleh manusia.

“Oleh itu, kesiapsiagaan bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan yang mendesak.

“Kerajaan Negeri, melalui agensi-agensi yang terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pengurusan Bencana Negeri serta semua agensi penyelamat sentiasa berada di barisan hadapan untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Pulau Pinang untuk mengambil langkah-langkah persediaan awal, seperti memastikan kediaman masing-masing dalam keadaan selamat, menyimpan bekalan penting dan mengetahui cara untuk menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

4a4aa964 2312 49aa ba27 28d844472b47

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam pada itu mengambil inisiatif menyumbang bot penyelamat berserta peralatan kepada 10 pasukan Bomba Komuniti.

Menurut Pengarah JBPM Pulau Pinang, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohamad Shoki Hamzah, negeri Pulau Pinang telah merekodkan 11 panggilan kes banjir, lima (tanah runtuh) dan 41 (pokok tumbang) sejak awal Oktober 2025 hingga kini,

995a98e2 5da9 411e b427 8871c2279416

“Angka ini kemungkinan akan melebihi penerimaan kes tahun lepas dengan jangkaan 18 peratus kenaikan berbanding MTL tahun 2024, satu pemerhatian lonjakan yang jelas menunjukkan keperluan kesiapsiagaan menyeluruh.

 

“Kita mempunyai 53 lokasi hotspot banjir dan enam lokasi tanah runtuh telah dikenal pasti di seluruh negeri yang mana kawasan seperti Seberang Perai Tengah, Barat Daya dan Timur Laut kini menjadi tumpuan utama pemantauan jabatan.

 

“Namun begitu, saya yakin bahawa JBPM Pulau Pinang bersedia sepenuhnya dan kita memiliki kekuatan 1,699 pegawai dan anggota, termasuk pegawai bomba bantuan serta pegawai bomba sukarela, boleh dikatakan satu pasukan besar yang mampu digerakkan bila-bila masa, siang dan malam,” ulasnya lanjut.

 

Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri memaklumkan, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan Pusat Kawalan Bencana Negeri Pulau Pinang (SDCC) dalam menyokong, memantau dan menyelaras tindakan bencana pada peringkat daerah bagi memastikan pengurusan bencana lebih cekap dan teratur.

 

“Kerjasama rapat antara SDCC dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah membolehkan penyelarasan logistik, aset dan bantuan dilaksanakan dengan lebih efisien, terutamanya semasa menghadapi situasi kecemasan,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara.

 

Beliau memberitahu, Seberang Perai Utara mempunyai enam kawasan ‘hotspot’ banjir yang sentiasa diberi perhatian ketika musim hujan berterusan atau ketika paras air sungai meningkat.

 

“Berdasarkan pengalaman lalu, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Utara (PDTSPU) bersama-sama agensi penyelamat sudah bersiap siaga dengan pelan pemindahan serta keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS).

e8b90f32 ef5e 4808 81bf 06b7cde1e32a

“Fokus utama kami adalah keselamatan penduduk di kawasan berisiko.

 

“Selain itu, pemantauan rapi turut dilaksanakan bersama-sama agensi berwajib di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi memastikan langkah awal dapat diambil sebelum keadaan menjadi kritikal,” jelasnya lagi.

 

 

 Sebagai inisiatif baharu di bawah Pelan Pengurangan Risiko Bencana (Disaster Risk Reduction), Mohd. Hafiz Aswad memberitahu bahawa PDTSPU kini melaksanakan projek perintis membangunkan profil terperinci setiap isi rumah, termasuk maklumat ketua keluarga, bilangan ahli serta keperluan khas seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

 

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang melalui Pengarahnya, Lt. Kol Bersekutu (PA) Ooin Soon Lee memperkenalkan aplikasi pintar MyPublicInfobanjir bagi membolehkan orang awam mengakses maklumat dan mengetahui paras sebenar air sungai.

img 5608

Dengan memuat turun aplikasi MyPublicInfobanjir ke dalam telefon pintar, orang ramai boleh mengetahui paras air sungai berhampiran sama ada berada pada paras normal, amaran atau bahaya.

 

“JPS negeri juga menyelenggara 44 rumah pam saliran, 40 rumah pam pengairan, serta 35 pintu air di sepanjang parit dan sungai di negeri ini.

 

“Bagi menghadapi MTL, JPS turut membuat persediaan dari segi aset seperti 29 pam bergerak, lori pengangkut, lori kren dan jentera pengorek (backhoe).

 

“Kita juga melaksanakan kerja penyelenggaraan rutin termasuk pembersihan sampah sarap dan lumpur yang menyebabkan sungai cetek serta memperdalam dan melebarkan parit utama bagi melancarkan aliran air,” katanya lagi.

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT