Pihak perunding dan kontraktor diminta kemukakan laporan penemuan aliran air di atas tapak projek – Datuk Bandar

AR. Yew Tung Seang ketika sidang media tengah hari tadi.

PAYA TERUBONG – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang telah meminta pihak perunding dan kontraktor jalan raya berkembar Bukit Kukus untuk mengemukakan laporan berhubung penemuan aliran air di tapak projek berkenaan baru-baru ini.

Tegasnya, pada pagi 20 Oktober lalu, beliau sendiri telah naik ke atas bukit tersebut dan mendapati satu punca air telah ditutup tanpa mengambil kira pengalihan yang perlu dilakukan.

“Saya mahukan penjelasan tersebut kerana ianya tidak memerlukan pakar untuk memberitahu bahawa perlukan pengalihan sebelum penimbunan tanah dilakukan.

“Jadi, untuk diri saya, itu merupakan satu kemungkinan punca utama yang mana menyebabkan kejadian tersebut (tanah runtuh) berlaku dan memberi kesusahan kepada semua pihak,” katanya pada sidang media dekat tapak kejadian di sini tadi.

Hadir sama Setiusaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali dan A. Rejandran (Pengarah Kejuruteraan MBPP).

Tuntas, menurut Tung Seang, pihaknya telah meminta kontraktor untuk alihkan aliran tersebut secepat mungkin.

“Dan pada petang hari sama, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah datang dan kami berkongsi fakta serta bersepakat dalam hal tersebut.

“Di pihak MBPP, kami juga jalankan siasatan dalaman dan mengadakan beberapa mesyuarat dengan pihak tertentu, kemungkinan juga akan bekerjasama dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk menyiasat dengan lebih lanjut di samping siasatan-siasatan yang dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan,” jelasnya.

Menurut Tung Seang, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku ekoran projek itu tidak memerlukan penggunaan teknologi tinggi atau merumitkan, sebaliknya cuma melaksanakan kewajiban dan Piawaian Tatacara Pengendalian (SOP) masing-masing sahaja.

“Justeru, MBPP akan menunggu hasil siasatan rentetan daripada kejadian itu sebelum mengambil sebarang tindakan yang difikirkan wajar.

“Malah, sebagai langkah keselamatan, dua sensor turut diletakkan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah dalam menjamin operasi mencari serta menyelamat (SAR) dilakukan dengan selamat,” ujarnya.

Difahamkan, hari ini yang memasuki hari keempat operasi pencarian, sebanyak sembilan mangsa telah ditemui, yang mana lapan daripadanya telah meninggal dunia dan mendapat rawatan susulan di hospital (1).

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video Langsung : ALISSALA THIAN