PIHEC ke-10 tampil pelbagai kelainan & pembaharuan

ABDUL Halim Hussain (tengah) turut menyasarkan kehadiran 50,000 orang bagi PIHEC 2019 kali ini.

GEORGE TOWN – Penganjuran Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) 2019 bakal menampilkan pelbagai kelainan dan pembaharuan bagi menarik kunjungan lapisan masyarakat.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, pembaharuan yang bakal ditampilkan membabitkan paparan struktur, pameran, pavilion, produk dan perkhidmatan serta program seminar perniagaan.

“Program kemuncak PIHEC ke-10 ini ialah penganjuran The Global Blockchained Halal Industry Forum 2019 yang akan berlangsung di Grand Ball Room, Pusat Konvensyen Subterranean Penang International Convention Centre (SPICE).

“Forum bertaraf antarabangsa berkenaan adalah yang pertama kali dianjurkan di Malaysia, di mana ia bakal melibatkan panel antarabangsa yang terdiri daripada para ilmiah, pengusaha industri halal dan sektor korporat.

“Bertemakan ‘Digitalization & The Halal Industry’, forum ini berperanan sebagai platform strategik untuk para peserta dan pemain industri memahami dengan mendalami impak dan penggunaan teknologi blockchain dalam sebuah industri,” ujarnya yang juga Pengerusi Penang International Halal Hub (PIHH) selaku penganjur tahunan PIHEC.

Hadir sama, Pengurus Besar PIHH, Mohamad Firhan Mohamed Ghouse; Ahli Lembaga Pengarah PIHH, Mohamed Yusoff Mohamed Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Confexhub Group, Paul Yeo.

Difahamkan penganjuran yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Mac  ini membabitkan kira-kira 333 pempamer dari Malaysia dan juga luar negara seperti Indonesia, Thailand, Jepun, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Selain jualan makanan dan minuman, ekspo berkenaan turut menyediakan seminar berkaitan ekonomi, latihan industri, program usahawan muda, pakej pelancongan mesra Muslim, padanan perniagaan, permohonan geran pertanian dan banyak lagi.

Serentak dengan itu, Abdul Halim menjemput orang ramai untuk memeriahkan lagi PIHEC berlangsung dari jam 10 pagi hingga 8 malam itu yang turut menampilkan artis-artis ternama tanah air.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD