“Pilihan raya Kerajaan Tempatan untungkan rakyat setempat” – Steven Sim

SteVeN Sim chee Keong menunjukkan aplikasi aduan mudah “Better Penang” yang diperkenalkan MPSP
SteVeN Sim chee Keong menunjukkan aplikasi aduan mudah
“Better Penang” yang diperkenalkan MPSP

NAMANYA mula menjadi perhatian apabila menjadi salah seorang daripada dua anak Malaysia dinobatkan sebagai ‘Youth Global Leader’ oleh World Economic Forum pada awal tahun ini.

Pengalaman memimpin gerakan mahasiswa di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hampir sedekad lepas diakui menjadi bekal yang berharga buat Steven Sim Chee Keong, 30.

Chee Keong atau lebih selesa dengan panggilan Steven, sekarang diberi kepercayaan sebagai Pegawai Eksekutif Kanan di Penang Institute (PI) merangkap Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Stevan semasa diinterbiu wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB berkata, beliau komited merealisasikan impian rakyat untuk mengembalikan semula sistem pilihanraya kerajaan tempatan secara demokratik.

“Statusnya (MPSP) dianggap sebagai sebuah jabatan di bawah kerajaan (negeri) sahaja walaupun ia sepatutnya adalah sebuah kerajaan tempatan yang dipilih oleh rakyat setempat melalui proses pilihanraya kerajaan tempatan secara demokratik, bersih dan sihat.

“Kerana terlalu lama PBT (pihak berkuasa tempatan) dipilih melalui proses lantikan, kesedaran dan kebersamaan orang awam dengan kerajaan tempatan ini sangat rendah.

“Segala polisi yang dibincang sesama Ahli Majlis tidak secara meluas disebabkan tiada ‘partisipasi demokrasi’ secara langsung daripada orang awam.

“Untuk mengembalikan semula rasa kebersamaan antara PBT dan rakyat setempat ini, saya berkongsi impian yang sama dengan kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu mengembalikan semula hak membentuk PBT kepada rakyat melalui system pilihan raya yang demokratik,” ujar beliau.

Beliau berkata, rakyat sepatutnya cakna dengan hal ehwal pentadbiran yang dimusyawarahkan dalam mesyuarat PBT sebagaimana mereka cakna dengan perbentangan bajet di DUN (Dewan Undangan Negeri) Pulau Pinang serta di Parlimen.

“Berapa orang sedar mengenai  bajet diluluskan di peringkat Kerajaan Tempatan, berapa wang rakyat dibelanjakan dan polisipolisi perbandaran yang diluluskan walaupun pihak berkuasa ini sebenarnya menerima cukai daripada rakyat setempat,” soal beliau.

PENTADBIRAN ‘BAWAH KE ATAS’

Menurut beliau, MPSP sendiri sejak perubahan kuasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 8 Mac 2008 sedang berusaha untuk mengurangkan amalan pentadbiran satu hala, iaitu kepemimpinan sahaja yang menentukan pelan perbandaran di Seberang Perai tanpa partisipasi meluas daripada rakyat setempat.

“Sama ada di peringkat pusat atau Kerajaan Negeri, semua rakyat boleh mengundi dan ubah kepemimpinan sekiranya tidak berpuas hati. Tapi, di peringkat majlis, semua itu tidak ada kerana tiada sistem pilihanraya peringkat kerajaan tempatan.

“Hampir setiap minggu, PBT meluluskan pelan perancangan perumahan umpamanya tanpa mendapat reaksi masyarakat setempat secara dua hala terlebih dahulu.

“Jika tidak puas hati dengan mana-mana Ahli Majlis atau saya umpamanya, rakyat tidak mempunyai kuasa untuk memilih seseorang yang lebih baik untuk mentadbir PBT sebab tiada pilihanraya kerajaan tempatan.

“Rakyat atau pelanggan juga hampir tiada suara untuk menentukan pelan perbandaran yang dipersetujui atau dipertikai kerana tiada perasaan kebersamaan ini dan mekanisme pilihanraya.

“ Sungguhpun hasrat menguatkuasa Akta Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) masih menerima reaksi berbeza daripada (kerajaan) pusat, dalam beberapa mesyuarat di peringkat majlis (MPSP) sekarang, kita (MPSP) sudah mula menjemput semua pihak berwajib seperti seperti NGO (badan bukan kerajaan), persatuan rukun tetangga, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) dan sebagainya sebagai langkah permulaan,’’ jelas Steven.

TIGA CONTOH POLISI BARU

Kepemimpinan baru MPSP s u n g g u h p u n d i k a t a k a n mengamalkan urus tadbir secara Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT), namun turut digambarkan tidak mengetengahkan sebarang polisi perbandaran yang dinamik serta memberi manfaat lebih kepada rakyat.

Steven berkata, beliau kurang bersetuju dengan telahan itu sambil menyatakan tiga contoh pembaharuan yang dilakukan oleh MPSP.

“Perubahan polisi pengurusan MPSP melalui CAT antaranya adalah kita (MPSP) Berjaya melangsaikan RM230 deficit hutang MPSP yang ditinggalkan selama tujuh tahun oleh kerajaan lama (era Barisan Nasional).

“Urus tadbir CAT ini membolehkan MPSP mendapat surplas (lebihan kewangan) serta mampu mewujudkan peluang pekerjaan pada warga setempat,” ujar beliau.

Pertama, beliau berkata, MPSP berjaya menyediakan 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat disebabkan menstruktur semula bahagian pengurusan dengan mengurangkan ‘penswastaan pengurusan’ majlis.

Kedua, tambahnya, MPSP sejak Februari tahun lepas telah melaksanakan “Bajet Responsif Gender’ sebagai salah satu pelantar ujian pada polisi perbandaran baru.

“Perbelanjaan mesti berasaskan kepada keperluan sebenar semua peringkat seperti membina tandas awam lebih untuk wanita daripada lelaki pada satu-satu tempat disebabkan keperluan wanita di tempat itu lebih ramai dari lelaki.

“Satu-satu dasar dibuat berdasarkan keperluan yang adil dan sensitif gender, bukan umpama kamu ada lima biji epal, maka, saya pun mesti mempunyai lima biji epal, ujar beliau.

Ketiga, beliau berkata, MPSP baru melanjarkan aplikasi telefon mudah alih bernama “Better Penang” bagi memudahkan aduan bukan kecemasan dibuat oleh penduduk setempat untuk tindakan lanjut pihak majlis berwajib.

“Apabila orang awam ternampak aktiviti longgokan sampah secara haram umpamanya, mereka hanya perlu tangap gambar, tagkan lokasi dan hantar ke aplikasi yang disediakan dan ia akan dinaikkan dalam facebook (kendalian) ‘Watch Penang’ untuk tindakan susulan serta pemantauan oleh pelanggan sendiri.

“(Polisi) platfom lama, jika saya buat aduan, maka saya seorang sahaja yang tahu. Tetapi, apabila aduan ini dipaparkan secara terbuka, maka semua orang boleh lihat dan pantau tindakan lanjut MPSP. Inilah yang dikatakan polisi integriti,” ujarnya.

HARAPAN

Beliau berkata, semua pihak berwajib sepatutnya mengetepikan sentimen politik kerana hasrat melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan nyata menguntungkan rakyat Pulau Pinang.

“Pilihanraya bukannya satusatunya jaminan untuk memastikan urus tadbir yang lebih baik kerana selepas 12 kali pilihanraya umum diadakan di negara ini, kita didedah mengenai amalan yang tidak demokratik di peringkat pusat.

“Tetapi, dengan pilihanraya, usaha memperbaiki kepemimpinan atau pentadbiran boleh dilakukan sedikit demi sedikit seperti yang dapat dilihat di Pulau Pinang sejak Mac 2008 sehingga sekarang.

“Sebab itu, pilihanraya kecil kerajaan tempatan diperlukan. Saya amat berharap kerajaan pusat akan mengetepikan perbezaan politik untuk mengambil peluang dengan begitu baik ini untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) bagi merealisasikan impian rakyat mengadakan Kerajaan Tempatan.

“Kerajaan pusat dan negeri perlu membina impian bersama, iaitu melahirkan suasana yang lebih demokratik dengan mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan demi rakyat.”