Pinjaman RM52 juta renovasi Dewan Sri Pinang ditukar kepada geran Persekutuan

Admin
0af3d0c7 a9cb 4313 aeae f737d70927f2 (Dari kiri) ZULKIFLI Long, Mohamad Abdul Hamid, Ketua Menteri, Jagdeep Singh Deo dan S. Karunanithy dalam sidang media berkaitan seusai Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2026 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 22 Januari 2026.

GEORGE TOWN – Pinjaman Persekutuan berjumlah RM52 juta untuk projek renovasi Dewan Sri Pinang kini ditukar kepada geran Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri.

8b990d66 faac 4c21 9685 86b5d85a113d
KETUA Menteri

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini tidak perlu membayar balik kos bagi kerja-kerja pengubahsuaian kompleks dewan serba guna yang berusia lebih 50 tahun tersebut.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak perlu bayar balik memandangkan pemberian pinjaman itu telahpun ditukar kepada geran Persekutuan,” jelasnya kepada pemberita pada sidang media seusai Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2026 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 22 Januari 2026.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long turut sertai sidang media berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa projek berkaitan yang berada di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kini dalam proses reka bentuk, manakala proses tender dibuat pada bulan Julai atau Ogos kelak.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Zulkifli memberitahu bahawa projek renovasi Dewan Sri Pinang dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun, sebelum ia dibuka semula untuk kegunaan majlis rasmi kelak.

“Selagi kerja-kerja (tanah) tidak dimulakan, Dewan Sri Pinang masih boleh diguna seperti biasa,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : MOHD IQBAL HAMDAN