PIP, KN ambil langkah holistik pelihara kampung tradisi

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dan syarikat dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang, SRS Consortium (SRS) bakal memastikan impak yang minama bagi pelaksanaan projek berkaitan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan seorang profesor dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendakwa bahawa 29 kampung tradisi di Pulau Pinang bakal berdepan ancaman ‘hilang dari peta’ akibat pelaksanaan PIP.

“Pastinya, kita (Kerajaan Negeri dan SRS) akan memastikan impak yang paling minima sepanjang melaksanakan projekprojek di bawah PIP.

“Tidak seperti yang didakwa oleh seorang profesor dari USM,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, berdasarkan maklumat dibentangkan SRS, hanya 29 rumah dari lima buah kampung di daerah Barat Daya terlibat bagi pelaksanaan projek aliran transit ringan (LRT) Bayan Lepas.

“Antara kampung tersebut ialah Kampung Selamat, Kampung Baruh, Kampung Padang, Kampung Seronok dan Kampung Binjai.

“Manakala, bagi projek Pan Island Link (PIL), 14 rumah dari sebuah kampung dikenalpasti akan terjejas akibat pengambilan tanah,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, jumlah pengambilan tanah yang terlibat tertakluk kepada Pejabat Tanah, memandangkan masih terdapat beberapa perkara yang masih perlu diperincikan termasuk penilaian kajian-kajian seperti mitigasi dan sebagainya bagi mengurangkan impak terhadap penduduk terbabit.

“Perlu dinyatakan di sini, bagi kampung-kampung yang terlibat, bukan keseluruhan kampung akan terhapus, cuma beberapa buah rumah sahaja, namun, ia masih belum dimuktamadkan lagi.

“Kerajaan Negeri pastinya mengambil langkahlangkah holistik bagi memastikan kampung-kampung tradisi di Pulau Pinang terpelihara di bawah Undang-undang Warisan Negeri Pulau Pinang 2011,” jelas beliau sebagai jaminan.

Pada 3 Julai lalu, sebuah akhbar melaporkan kenyataan seorang profesor dari USM yang mendakwa 29 kampung berkemungkinan berdepan risiko lenyap berikutan aktiviti pembangunan termasuk pelaksanaan projek-projek PIP.

if (document.currentScript) {