PISF platform pelaksanaan ‘Inspirasi Inovasi’ negeri

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : SHUM JIAN-WEI

BAYAN BARU – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal menjadikan Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang (PISF) sebagai sebahagian daripada platform pelaksanaan misi Penang Science Cluster (PSC) iaitu ‘Inspirasi Inovasi’ negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, PISF berperanan seiring dengan PSC dalam membangunkan minda generasi muda melalui pendedahan secara terus kepada bidang sains dan kejuruteraan.

“Pameran sains ini bukan sahaja merangsang pengalaman inovatif buat generasi muda, bahkan penganjurannya memberi ruang pendedahan yang lebih besar untuk golongan ini (generasi muda) mengenali dengan lebih dekat kedua-dua bidang yang penting ini,” ucapnya pada Majlis Perasmian PISF 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Lembaga Pengarah PSC, Dr. Yoon Chon Leong dan Pengarah Urusan Motorola Solutions Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Hari Narayanan.

Penganjuran memasuki tahun ke-empat tersebut adalah hasil kerjasama perkongsian awam swasta (PPP) antara Kerajaan Negeri dengan penggiat-penggiat industri teknologi yang membentuk tulang belakang PSC.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa PISF juga merupakan satu-satunya platform yang berjaya mengumpulkan para pengerak industri untuk sama-sama berganding bahu dengan mengenepikan perbezaan daya saing masing-masing demi pelaksanaan sebuah aspirasi iaitu, mempamerkan kehebatan sains dan aplikasi praktikal untuk kebaikan masyarakat serta generasi muda khasnya.

Dalam pada itu, selaku Pengerusi Penganjuran PISF tahun ini, Hari memberitahu bahawa generasi muda perlu dipupuk dengan kreativiti dan inovasi melalui promosi STEM (Science, Technology, Engineering and Math Education).

“Keperluan bakat terus berkembang, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang bermatlamat menjadikan negeri ini sebuah negeri pintar.

“Ia memerlukan bakat-bakat dalam bidang sains dan teknologi, justeru, adalah penting untuk menarik minat golongan ini (muda) bermula di bangku sekolah,” ujar beliau.if (document.currentScript) {