PKP 2.0 – AKPK sedia bantu PKS terjejas

PENULARAN wabak COVID-19 tentunya memberikan kesan kepada operasi dan kedudukan kewangan para peniaga terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk perusahaan mikro. Menurut dapatan tinjauan yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia[1] sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mengenai kesan pandemik COVID-19 ke atas syarikat dan firma perniagaan (perusahaan mikro dan kecil mewakili 83.8% daripada jumlah responden), terdapat dua cabaran utama dalam menjalankan perniagaan sepanjang tempoh PKP iaitu keupayaan untuk membayar gaji pekerja (76.6%) diikuti dengan ketiadaan pelanggan (65.5%). Di samping itu, sebanyak 67.8% responden menyatakan ketiadaan sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP tersebut.

 

Bagi meringankan beban atau komitmen kewangan PKS yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang berlanjutan dan pelaksanaan PKP 2.0,  Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sentiasa bersedia membantu PKS yang berhadapan masalah dalam pembayaran balik pinjaman melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil untuk PKS (SPPK).

 

SPPK memberi bantuan kepada PKS yang menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik pinjaman perniagaan mereka dengan institusi kewangan peserta di bawah SPPK melalui rundingan penjadualan semula pinjaman yang dikendalikan secara telus dan kolektif.   Sekiranya permohonan penjadualan semula pinjaman SPPK diluluskan, PKS akan dikecualikan daripada tindakan undang-undang oleh institusi kewangan masing-masing sepanjang tempoh penjadualan semula pinjaman tersebut. Berikut merupakan kriteria kelayakan PKS yang ingin mendapatkan bantuan di bawah SPPK:

 

  • Permohonan penjadualan semula pinjaman yang dikemukakan oleh PKS kepada institusi kewangan telah ditolak atau sekiranya tawaran penjadualan semula oleh institusi kewangan tidak dipersetujui oleh PKS;

 

  • PKS yang telah mendapatkan pinjaman perniagaan daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada semua bank perdagangan dan institusi perbankan Islam serta intitusi kewangan pembangunan[2] yang dikawal-selia oleh Bank Negara Malaysia.

 

  • PKS yang belum menghadapi tindakan penggulungan syarikat atau dalam penerimaan atau di bawah pengurusan kehakiman.

 

  • Pemilik atau pemegang saham PKS tidak diisytiharkan bankrap.

 

  • PKS yang telah menghentikan operasi tetapi masih mempunyai sumber pendapatan lain untuk memenuhi obligasi bayaran balik pinjaman.

 

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang, pelanggan dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian AKPK sebagai sebahagian daripada langkah penjarakkan fizikal untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Perkhidmatan AKPK dapat diakses melalui saluran dalam talian di https://services.akpk.org.my.

 

Perkhidmatan di bawah SDRS ditawarkan secara PERCUMA dan AKPK tidak melantik ejen pihak ketiga untuk bertindak bagi pihaknya.

 

Rujukan :

[1] Berdasarkan Laporan Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Syarikat dan Firma Perniagaan (Pusingan 1) yang telah dilaksanakan secara atas talian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tempoh 10 April 2020 hingga 1 Mei 2020.

[2] Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), Export-Import Bank of Malaysia Berhad (Exim Bank), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB)