PKP 3.0 : Peniaga rayu awalkan waktu operasi ke 6 pagi

Admin

GEORGE TOWN – Kebanyakan peniaga di kompleks-kompleks dan gerai makanan akur apabila Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengehadkan waktu operasi perniagaan sehingga jam 8 malam, walau bagaimanapun, terdapat permintaan supaya waktu operasi perniagaan yang dihadkan bermula jam 8 pagi dapat diawalkan.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa sejak pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan pada 25 Mei lalu, rata-rata peniaga merayu supaya dapat memberi pertimbangan untuk memulakan operasi perniagaan seawal jam 6 pagi.

 

Ramai peniaga mengalami kesusahan (apabila waktu operasi perniagaan bermula jam 8 pagi), dan memohon supaya waktu operasi dapat diawalkan iaitu bermula jam 6 pagi.

 

“Mereka (peniaga) mengharapkan supaya waktu operasi perniagaan dapat dimulakan awal sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini (PKP 2.0),” ujarnya pada sidang media sejurus mengadakan tinjauan ke Tapak Penjaja Sementara (TPS) Jalan Perak dekat sini pagi ini.

 

SETIAP pengunjung dikehendaki imbas kod MySejahtera dan melakukan saringan suhu badan sebelum masuk ke mana-mana premis perniagaan.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Suffian Santong serta beberapa wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Mengulas mengenai pematuhan SOP di TPS Jalan Perak, Jagdeep mendapati bahawa tidak ramai yang mengunjungi pasar pagi tersebut.

 

“Walaupun begitu, para peniaga perlu terus mematuhi SOP meskipun pelaksanaannya mungkin menyukarkan (pergerakan) ekonomi.

 

“Saya juga telah mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP ketika melakukan pemantauan di lapangan,” katanya sambil merujuk jumlah pemeriksaan yang dilakukan oleh MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sehingga kini.

 

Sebagai rekod, sebanyak 1.89 juta pemeriksaan telah dilaksanakan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga kini melibatkan premis perniagaan serta kawasan awam.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut menyeru semua rakyat, bukan sahaja di Pulau Pinang, supaya mendaftar diri sebagai penerima vaksin bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

“Saya khuatir melihat jumlah kes semalam (26 Mei 2021; 7,289 kes) yang mana merupakan jumlah tertinggi sejak 18 Mac 2020.

 

“Malah, di Pulau Pinang juga merekodkan jumlah tertinggi iaitu 420 kes, lebih tinggi daripada jumlah sebelum ini (13 Mei 2021; 395 kes).

 

“Oleh itu, saya rayu kepada semua, segeralah mendaftar (sebagai penerima vaksin), teruskan disiplin kendiri dan saya percaya kita mampu mencatatkan sifar kes seperti sebelum ini,” serunya yang menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menerima bekalan vaksin bagi diberikan kepada rakyat di negeri ini dalam usaha membendung penularan COVID-19.

 

Terdahulu, Jagdeep bersama-sama Rayer dan Ah Teong meluangkan masa mengedarkan pelitup muka kepada semua peniaga di TPS Jalan Perak di sini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN